AKSI pemain Chelsea,  Christian Pulisic (kanan) ketika menentang Porto. FOTO AFP
AKSI pemain Chelsea, Christian Pulisic (kanan) ketika menentang Porto. FOTO AFP
AFP

Seville: Chelsea mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara kali pertama sejak 2014 walaupun tewas 0-1 kepada Porto dalam aksi suku akhir kedua di Sevilla, pagi tadi.

Skuad Thomas Tuchel akan menentang Real Madrid atau Liverpool bagi memburu tempat ke final selepas mampamerkan corak taktikal efektif untuk menang 2-1 secara agregat.

Chelsea tangkas bertahan mengekang asakan Porto sehinggalah jaringan akrobatik Mehdi Taremi pada minit akhir perlawanan namun sudah terlewat buat gergasi Portugal itu.

Chelsea hanya tewas sekali dalam 18 perlawanan sejak Tuchel menggantikan Frank Lampard yang dipecat pada Januari lalu.

"Ia perlawanan yang sengit. Sukar menentang mereka tetapi kami bertahan dengan baik sehinggalah jaringan pada minit akhir.

"Kami memiliki lebih peluang tetapi pemain gagal memanfaatkannya. Jadi, kami perlu bertahan dan pemain saya berjaya melakukannya.

"Keseluruhannya kami berhak menang. Ia aksi yang sukar 180 minit."

Tuchel akui minggu ini pasukannya berdepan misi getir dan telah pun lulus ujian pertama. Kini mereka boleh menumpukan kepada aksi separuh akhir Piala FA menentang pendahulu Liga Perdana, Manchester City pada Sabtu ini di Wembley.

Blues menduduki tangga kelima Liga Perdana dan memburu kelompok empat teratas. Mereka mungkin perlu menjuarai Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak 2012 jika mahu layak ke kejohahan itu musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 April 2021 @ 8:00 AM