HAMIDIN (kiri) memperkatakan sesuatu dengan Shaikh Salman. FOTO FB FAM
HAMIDIN (kiri) memperkatakan sesuatu dengan Shaikh Salman. FOTO FB FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) akan terus bekerjasama dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam usaha meningkatkan lagi pembangunan bola sepak wanita, futsal dan juga bola sepak pantai.

Perbincangan itu membabitkan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin bersama Presiden AFC, Shaikh Salman Ibrahim Al Khalifa dalam mesyuarat tertutup di Manama menjelang Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif AFC ketujuh bagi penggal 2019-2023.

Hadir sama, Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John.

Dalam mesyuarat itu, Hamidin yang juga ahli jawatankuasa eksekutif AFC membincangkan keperluan dua hala FAM dengan badan induk itu serta tiga cabang pembangunan itu membabitkan hala tuju pasukan kebangsaan serta pertandingan domestik.

"Shaikh Salman menekankan perlunya tiga cabang itu, iaitu pembangunan bola sepak wanita, futsal dan bola sepak pantai supaya diberi lebih penekanan dengan beberapa pendekatan strategik.

"Beliau juga turut menegaskan prestasi pasukan bola sepak kebangsaan harus sentiasa dipantau dan digarap secara lebih profesional agar mutu bola sepak Malaysia mencapai tahap lebih baik.

"FAM berpuas hati dengan komitmen Shaikh Salman dan AFC dalam membantu memartabatkan lagi pembangunan bola sepak, bola sepak wanita, futsal dan bola sepak pantai di Malaysia pada masa akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 April 2021 @ 1:50 PM