Hamidin (kiri) bersama Gianni Infantino ketika diundang menyaksikan final ACL di Riyadh. FOTO FAM
Hamidin (kiri) bersama Gianni Infantino ketika diundang menyaksikan final ACL di Riyadh. FOTO FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Aksi final Liga Juara-Juara Asia (ACL) antara Al-Hilal SFC dari Arab Saudi dan wakil Korea Selatan, Pohang Steelers, dianggap Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin sebagai iklan terbaik bola sepak Asia di peringkat kelab.

Hamidin yang dijemput bagi menyaksikan aksi kemuncak di Stadium Antarabangsa King Fahd di Riyadh itu mengakui pertembungan dua kelab terbaik Asia itu cukup hebat dan menepati status sebagai perlawanan yang dinanti-nantikan.

Malah katanya, semua ahli gabungan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang dijemput bukan saja dapat melihat perlawanan terbabit tetapi ia juga sebagai platform untuk bertukar-tukar pendapat bersama rakan sejawat dari negara lain.

"Pendekatan AFC untuk membuka ruang kepada pucuk pimpinan negara anggota dan ahli exco menyaksikan kemuncak saingan ini bukan sahaja baik untuk bertukar pendapat, tetapi juga berbincang mengenai standard bola sepak Asia dalam suasana kekitaan.

"Terima kasih AFC dan tahniah kepada Al-Hilal," katanya yang turut meluangkan masa dan berbincang dengan Presiden Fifa, Gianni Infantino.

Dalam aksi final itu, Al-Hilal muncul juara selepas menang 2-0 ke atas Pohang Steelers.

Ia adalah kejuaraan ke empat buat Al-Hilal dan menjadikan mereka kelab paling berjaya di peringkat benua Asia di mana, Al-Hilal muncul juara pada edisi 2019, mengungguli saingan Kejohanan Kelab Asia pada 1991 dan 2000.

Hamidin menerima undangan AFC yang membawa Presiden-presiden 46 negara anggota bersama barisan ahli jawatankuasa eksekutifnya yang hadir ke Manama, Bahrain bagi Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif AFC kelapan bagi penggal 2019-2023, Ahad lalu.

Hadir sama ialah Presiden AFC, Shaikh Salman Ibrahim Al Khalifa. Turut serta, Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor John.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 November 2021 @ 2:57 PM