CHENG Hoe (tengah) berkata persediaan rapi mampu membawa kepada kejayaan skuad Harimau Malaya. FOTO FAM
CHENG Hoe (tengah) berkata persediaan rapi mampu membawa kepada kejayaan skuad Harimau Malaya. FOTO FAM
BERNAMA

Kuala Lumpur: Menyedari skuad kebangsaan jauh ketinggalan dari sudut persiapan berbanding tiga lawannya, ketua jurulatih Tan Cheng Hoe berharap dapat menyediakan pasukan lebih awal, menjelang baki saingan kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023, Jun ini.

Cheng Hoe mahukan tempoh antara 10 hingga 12 hari pada Mei, sebelum berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 3 Jun, Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun) yang sudah melakukan persiapan lebih awal, termasuk menguji pasukan melalui beberapa siri aksi persahabatan sejak tahun lalu.

Jelasnya, persediaan rapi sebelum bersaing dengan ketiga-tiga pasukan dalam aksi Kumpulan G itu, adalah faktor utama yang mampu membawa kepada kejayaan skuad Harimau Malaya dalam misi layak secara automatik, ke pusingan akhir Piala Asia 2023.

"Mana-mana pasukan kalau dapat lagi lama (persiapan) lagi bagus, tetapi jika dapat dalam 10 atau 12 hari memang sesuatu yang terbaik.

"Sebab kita juga perlu menyusun aksi pemanas badan yang merupakan elemen terpenting kepada pasukan.

"Berbanding main di laman sendiri, aksi kali ini agak berlainan sebab kita bermain di UAE. Kita perlu berada di sana atau negara yang iklimnya lebih kurang dengan UAE, kerana kita memang perlukan masa untuk tujuan adapatasi dengan cuaca di sana," katanya.

Bulan Jun dianggap sebagai musim panas di UAE, terutama di ibu kotanya Abu Dhabi dengan purata suhu di waktu siang mampu mencapai 40 darjah celsius, dan purata 25 darjah celsius pada sebelah malam.

Sebagai jurulatih berpengalaman, Cheng Hoe bagaimanapun tidak melihat ia sebagai halangan untuk mencipta kejayaan di UAE, sekiranya barisan pemain mampu bersedia dari segi mental dan fizikal menerusi tempoh masa persiapan yang ideal.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 April 2021 @ 9:36 PM