Jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe
Jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe
BERNAMA

Kuala Lumpur: Menjelang pertembungan berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Jun ini, ketua jurulatih pasukan kebangsaan Tan Cheng Hoe mengakui kelebihan berpihak kepada pasukan di kedudukan ke-74 dunia itu.

Katanya, segalanya termasuk dari segi cuaca dan masa, memihak kepada UAE yang dipilih sebagai tuan rumah untuk baki saingan pusingan kedua Kumpulan G kelayakan itu.

Malah, pengendali berusia 52 tahun itu berkata UAE turut dilihat begitu serius dalam memburu slot ke pusingan akhir Piala Asia 2023 selepas mengharungi lima aksi persahabatan dalam tempoh enam bulan sejak Oktober lepas dan memenangi dua perlawanan serta mencatat satu keputusan seri.

Mengakui UAE berada di hadapan dalam aspek persediaan, Cheng Hoe menyedari sebagai jurulatih, tugas beliau adalah sentiasa memikirkan idea terbaik dalam menyediakan pasukan terkuat walaupun dengan sumber terhad.

"Bukan saya mahu bagi alasan, tetapi memang faktor sekeliling berpihak kepada UAE. Sebab itu saya tekankan persiapan pasukan kebangsaan cukup penting," katanya.

Tatkala UAE serta dua lagi pasukan, Vietnam dan Thailand yang turut beraksi pada kempen kelayakan itu sudah melakukan persiapan lebih awal, skuad Harimau Malaya baru selesai menjalani kem latihan pusat pertama dalam tempoh 16 bulan di Johor Bahru, baru-baru ini.

Menurut Cheng Hoe, biarpun Vietnam tidak mengadakan sebarang aksi persahabatan antarabangsa, skuad kendalian Park Hang-Seo itu telah menjalani tiga hingga empat kem latihan pusat, selain aksi pemanas badan menentang beberapa kelab tempatan.

Selain itu, menurutnya, Thailand turut mempersiapkan pasukan dengan cara tersendiri termasuk mengadakan beberapa siri perlawanan persahabatan dengan kelab tempatan.

"Kita menyedari rakyat Malaysia terutama penyokong tempatan mempunyai harapan tinggi, malah saya bersama barisan kejurulatihan dan pemain pun ingin cipta sesuatu pada kempen ini kerana kita tahu ini peluang terbaik untuk pergi (mara) ke pusingan ketiga.

"Cuma kita baru adakan kem latihan selama seminggu di Johor dan sebagai jurulatih saya pun tak nak bagi alasan kerana kita tahu SOP (prosedur operasi standard) cukup ketat untuk sektor sukan, kerana itu kita tidak dapat jalankan latihan," katanya.

Malaysia yang berada di ranking ke-153 dunia akan menentang UAE pada 3 Jun sebelum berdepan pendahulu Kumpulan G, Vietnam (11 Jun) dan menutup kempen kelayakan menentang Thailand pada 15 Jun.

Juara setiap kumpulan dan empat pasukan di kedudukan kedua terbaik akan layak secara automatik ke Piala Asia 2023 dan pusingan ketiga kempen kelayakan untuk bersaing memburu slot ke Piala Dunia 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 April 2021 @ 9:37 PM