Pemain JDT, Safawi Rasid (tengah) pada saingan Liga Super menentang Penang FC.
Pemain JDT, Safawi Rasid (tengah) pada saingan Liga Super menentang Penang FC.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe berharap pemain sayap Johor Darul Ta'zim (JDT) Muhammad Safawi Rasid dapat kembali ke prestasi terbaiknya sebelum kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jun depan.

Beliau berkata khidmat Muhammad Safawi, 24, di bahagian serangan masih ditagih skuad Harimau Malaya bagi menghasilkan impak positif ketika berdepan cabaran tuan rumah UAE, Vietnam dan Thailand dalam aksi Kumpulan G.

Beliau yang memantau perkembangan barisan pemain kebangsaan mengakui Muhammad Safawi memerlukan ruang dan masa untuk mendapatkan semula rentak permainan selepas mengalami kecederaan di lutut kiri sewaktu menentang UiTM FC pada aksi Liga Super, Mac lepas.

"Mana-mana pemain apabila pulih daripada kecederaan memerlukan masa mencari rentak, ia bukan senang dan ia memang agak sedikit kekok. Tetapi dia sudah mula beraksi dalam satu atau dua perlawanan dan ia bagus untuk kembalikan keyakinan.

"Kita harap Safawi dapat beri sesuatu (kepada pasukan kebangsaan), saya yakin beliau mampu menyerlah dalam perlawanan akan datang," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Selepas dipinjamkan ke kelab profesional Liga Portugal Portimonense S.C musim lepas, pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu kembali bersama JDT untuk membantu skuad Harimau Selatan mengharungi musim 2021.

Namun, perkembangan prestasi Muhammad Safawi terbantut apabila diketepikan antara dua hingga tiga minggu akibat kecederaan dialami sebelum kembali dimasukkan sebagai pemain gantian dalam dua aksi terakhir Liga Super JDT menentang Sri Pahang FC dan Terengganu FC.

Sementara itu, Cheng Hoe enggan meletakkan tekanan kepada jurulatih pasukan Liga Malaysia (Liga M) dengan mengharapkan barisan pemain kebangsaan diberikan peluang beraksi bersama pasukan masing-masing.

Beliau berkata meskipun minit permainan amat diperlukan untuk persiapan fizikal dan mental pemain, mereka tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada jurulatih pasukan masing-masing, sebaliknya perlu berusaha memastikan kecergasan sentiasa pada tahap terbaik.

"Saya menghormati jurulatih pasukan kerana mereka pun ada KPI (petunjuk prestasi utama) ditetapkan kelab dan saya juga tahu penyerang kita kurang beraksi dalam liga. Walaupun kurang minit permainan, mereka harus lakukan sesuatu yang lebih ketika sesi latihan," katanya.

Malaysia akan menentang UAE pada 3 Jun, diikuti Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun) dalam perebutan gelaran juara Kumpulan G bagi memburu slot automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2023 sekali gus mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 April 2021 @ 11:31 PM