PEMAIN Terengganu FC giat menjalani latihan menjelang pertemuan dengan Sri Pahang FC di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam esok. FOTO TFC
PEMAIN Terengganu FC giat menjalani latihan menjelang pertemuan dengan Sri Pahang FC di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam esok. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pertembungan 'derby' Pantai Timur, Terengganu FC (TFC) menentang Sri Pahang FC pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur Kuantan, malam esok dijangka sengit dan menarik.

Ini kerana kedua-dua pasukan kini berada pada momentum terbaik dengan TFC yang dikendalikan jurulatih muda, Nafuzi Zain meraih dua kemenangan berturut-turut selain berada dalam suasana final Piala FA.

Manakala skuad Tok Gajah merakam empat kemenangan pada aksi terakhirnya selain seri sekali dalam saingan Liga Super selepas dibimbing jurulatih berpengalaman, Datuk Dollah Salleh.

Hal ini diakui Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC), Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh yang melihat kebijaksanaan strategi yang bakal diterjemahkan kedua-dua jurulatih itu bakal menjadi penentu kemenangan.

"Sri Pahang FC kini berada dalam momentum kemenangan hasil empat perlawanan terakhir selain terikat dengan Melaka United FC, begitu juga TFC yang berada dalam momentum kemenangan di tempat lawan selepas menumpaskan Selangor FC, Rabu lalu selain 'mood' final Piala FA yang bakal dilangsungkan pada 10 September depan.

"Jadi kedua-dua pasukan mempunyai reputasi tinggi untuk melakar kemenangan. Oleh sebab itu saya yakin pertemuan 'derby' Pantai Timur itu dijangka sengit dan menarik lebih-lebih lagi skuad Tok Gajah itu pasti mahu membalas dendam kekalahan pada aksi pusingan pertama.

"Namun saya meletakkan harapan yang tinggi pemain TFC mampu memperagakan aksi terbaik bagi mengekalkan momentum kemenangan di tempat lawan dengan kebijaksanaan ketua jurulatih mengadunkan pemain yang bakal beraksi dengan melihat kepada kekuatan dan kelemahan pihak lawan.

"Buat penyokong TFC, kehadiran anda ditagih bagi menyemarakkan lagi semangat pemain untuk berjuang dengan berbaki tujuh perlawanan lagi dalam saingan Liga Super," katanya ketika dihubungi.

Pada aksi pusingan pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak Julai lalu, TFC yang kini menghuni di tangga keempat liga melakar kemenangan tipis 2-1.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Ogos 2022 @ 1:30 PM