Muhammad Arif tidak sabar untuk beraksi dalam saingan Liga M. FOTO Ihsan TFC
Muhammad Arif tidak sabar untuk beraksi dalam saingan Liga M. FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pemain sayap kiri Terengganu FC (TFC), Muhammad Arif Mohamed Anwar menyifatkan tempoh yang berbaki 18 hari sahaja lagi sebelum sepak mula Liga Malaysia (Liga M) pada 5 Mac depan begitu genting buat pasukan untuk melakukan persediaan.

Namun bekas pelajar Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) itu tetap bersedia dan bersemangat selain begitu teruja untuk memulakan musim baharu apatah lagi penampilan sulungnya bersama skuad Penyu itu.

Katanya pengumuman daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) semalam yang memaklumkan Liga M akan tetap diteruskan mengikut jadual dan pasukan boleh turun berlatih di padang mulai Isnin depan disambut dengan perasaan lega dan gembira.

Malah katanya, kakinya sudah 'menggigil' untuk beraksi selepas kali terakhir bermain pada 8 November tahun lalu ketika menyarung jersi bekas pasukannya, UiTM FC sebelum Piala Malaysia dibatalkan memasuki suku akhir berikutan wabak pandemik Covid-19.

"Bagi saya tempoh 18 hari sahaja lagi belum memadai buat semua pasukan untuk bersedia, sebaiknya sebulan lebih baharu kita lebih serasi lebih-lebih lagi bersama pasukan baharu musim ini.

"Namun saya tidak sabar lagi untuk beraksi, jadi pengumuman daripada MFL itu ternyata memberi kelegaan kepada kami, ini juga sebagai persediaan untuk menghadapi kejohanan peringkat Asia nanti," katanya.

Mengulas lanjut, pemain kelahiran Gombak, Selangor yang memulakan kariernya bersama pasukan Harimau Muda berkata, bagi memastikan dia benar-benar bersedia untuk beraksi dalam saingan kompetitif itu, latihan tambahan perlu dilakukan.

"Tiada cara lain melainkan kami perlu melakukan latihan tambahan bagi memastikan kami benar-benar cergas untuk mengharungi saingan liga selain untuk mengelak daripada berlakunya sebarang kecederaan," katanya.

Musim lalu pemain berusia 26 tahun itu mencetuskan sensasi apabila meledak gol kemenangan pasukannya melalui jaringan akrobatik ketika menumpaskan Kelantan 3-2 bagi perebutan slot ke suku akhir Piala Malaysia selain pernah mencalar reputasi TFC dengan meledak satu gol menundukkan skuad itu 2-1.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Februari 2021 @ 1:39 PM