DUA pemain import KDA FC (jersi kuning) yang beraksi pada perlawanan menentang Negeri Sembilan, 1 November lalu. FOTO AZRUL EDHAM
DUA pemain import KDA FC (jersi kuning) yang beraksi pada perlawanan menentang Negeri Sembilan, 1 November lalu. FOTO AZRUL EDHAM
Izzali Ismail


Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) bakal membuat penampilan baharu apabila menukar semua lima importnya sebagai persediaan menghadapi Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Ia menyaksikan semua pemain import musim 2022 iaitu Ronald Ngah Wanja, Mahmoud Al-Mardi, Dechi Marcel, Marc Vales dan Sanrawat Dechmitr yang tamat kontrak pada musim ini, tidak akan disambung.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali, makluman mengenai semua import sedia ada yang tidak akan disambung kontrak itu dilakukan bagi memudahkan mereka merancang hala tuju musim depan.

"Kita merancang mahu mendapatkan lima pemain import baharu untuk musim depan selaras dengan perancangan mahu memastikan kebangkitan pasukan.

"Kita sudah mengenal pasti pemain yang akan dipilih nanti kerana ia sesuatu tugas perlu diperhalusi dengan sebaiknya agar kita dapat memiliki pemain benar-benar memberi impak kepada pasukan.

"Namun perancangan itu masih belum dapat diumumkan kerana perlu mendapat pengesahan dan kelulusan daripada ketua jurulatih yang akan hadir membimbing pasukan pada musim depan," katanya.

Ditanya mengenai jumlah import yang bakal digunakan KDA FC selepas Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menggunakan format baharu pendaftaran sembilan pemain import pasukan Liga Super bermula tahun depan, Khamal berkata pihaknya belum dapat memaklumkan jumlah keseluruhan pemain import tambahan akan didaftarkan.

"Memang kita mahukan lebih daripada lima import seperti dibenarkan MFL selaras dengan penstrukturan semula Liga M pada musim depan.

"Namun perkara itu bergantung pada kekuatan bajet untuk musim 2023 nanti dan jika kita berkemampuan dari segi kewangan, saya rasa kita boleh lakukan.

"Saya berharap kita dapat mengatasi setiap aspek kelemahan dalam bab pemilihan pemain import agar mendapat pemain benar-benar dapat memberi sumbangan terbaik buat pasukan di musim depan," katanya.

Khamal memaklumkan pihaknya berharap peminat bola sepak Kedah dapat bersabar menantikan pengumuman nama Ketua Jurulatih baharu Sang Kenari yang akan menggantikan Aidil Sharin Sahak yang tidak lagi mengendalikan pasukan sejak 17 Oktober lalu.

Mengenai perkembangan pemilihan pemain tempatan, beliau berkata, pihaknya menjalankan kerja awal sejak musim ini untuk mendapatkan tonggak pemain tempatan yang boleh menggalas cabaran Sang Kenari kelak.

Katanya, KDA FC merancang beberapa barisan pemain Kedah terutama yang kini bersama Akademi Mokhtar Dahari (AMD) untuk memastikan mereka dapat kembali menabur bakti di negeri kelahiran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 November 2022 @ 10:06 PM