KHAMAL (kiri) harap para penyokong dapat lebih bersabar menanti pengumuman. FOTO Ihsan KDA FC
KHAMAL (kiri) harap para penyokong dapat lebih bersabar menanti pengumuman. FOTO Ihsan KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar : Penantian penyokong Kedah Darul Aman FC (KDA FC) untuk mengetahui siapa Ketua Jurulatih baharu Sang Kenari untuk saingan Liga Malaysia musim depan bakal terjawab apabila pihak pengurusan akan melakukan pengumuman itu pada minggu pertama Disember depan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali, pihaknya bakal melakukan pengumuman tersebut sebaik kontrak jurulatih berkenaan tamat bersama pasukan yang beliau sertai pada masa ini.

"Kita akan buat pengumuman bermula dengan nama jurulatih tersebut terlebih dahulu pada awal minggu Disember depan memandangkan kita perlu menghormati kedudukan beliau yang masih memiliki kontrak sehingga hujung November bersama pasukan beliau sertai pada musim ini.

"Jadi saya harap para penyokong dapat lebih bersabar menanti pengumuman nama ketua jurulatih baharu yang akan dibuat terlebih dahulu itu sebelum kita umum nama pemain-pemain yang bersama pasukan selepas itu.

"Apa yang boleh saya katakan adalah KDA FC telah melakukan persediaan dan perancangan dengan lebih awal pada musim ini bagi memastikan pembentukan pasukan dapat berjalan dengan lebih lancar dan tersusun," katanya.

Khamal juga berkata pihaknya juga sudah mengenalpasti senarai nama pemain-pemain import baharu yang akan dipilih menyertai Sang Kenari musim depan melalui perancangan yang rapi untuk memastikan kemantapan keseluruhan barisan pemain menjadi lebih mantap bagi menghadapi saingan yang dijangka lebih sengit pada musim depan.

"Sebaik kita mengumumkan nama ketua jurulatih nanti, beliau juga akan memastikan setiap pemain yang dimuktamadkannya itu nanti benar-benar berada pada tahap terbaik bagi mengikuti taktikal yang akan dirancangkan beliau.

"Sebagai pihak pengurusan, kita memberi sokongan penuh kepada ketua jurulatih itu bagi menentukan siapa pemain yang akan dipilih kerana beliau perlu mengadunkan ramuan terbaik untuk membina sebuah pasukan yang akan dibimbingnya nanti.

"Sama ada ada kejutan dalam senarai pemain nanti, sama-sama kita nantikan debaran itu untuk barisan Sang Kenari baharu musim 2023 yang bakal dibentuk nanti, dan InsyaAllah kita berusaha dengan bersungguh-sungguh demi untuk memastikan kejayaan pasukan" katanya.

Dalam perkembangan sebelum ini KDA FC memaklumkan hasrat menukar kesemua lima importnya pada musim ini dengan pemain import baharu sebagai persediaan menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) pada musim depan.

Perkembangan ini menyaksikan kesemua pemain import yang beraksi musim ini iaitu Ronald Ngah Wanja, Mahmoud Al-Mardi, Dechi Marcel, Marc Vales dan Sanrawat Dechmitr yang mana kontrak masing-masing berakhir pada musim ini tidak disambung.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 November 2022 @ 3:59 PM