PENGENDALI Terengganu FC II, Badrul Afzan Razali rangka strategi baharu pasukannya. -FOTO Malik Muhamad
PENGENDALI Terengganu FC II, Badrul Afzan Razali rangka strategi baharu pasukannya. -FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Ketua jurulatih Terengganu FC II (TFC II), Badrul Afzan Razali mengakui ketiadaan dua pemain, Mohammad Ridzuan Mohd Razali dan Muhammad Aqil Irfanuddin Mohd Sabri yang digantung daripada terbabit dalam sebarang aktiviti bola sepak memberi tamparan buat pasukannya menjelang saingan Liga Perdana Mac ini.

Jurulatih kelahiran Kemaman itu berkata, dua pemain berkenaan adalah antara tonggak kekuatan pasukan dan ketiadaannya sudah pasti dirasai kem skuad The Turtles itu.

Bagaimanapun bekas pemain tengah Terengganu itu menegaskan beliau tidak mahu mencipta alasan sebaliknya bakal merangka strategi baharu bagi memastikan skuadnya benar-benar bersedia sebelum memulakan kempen liga.

"Kami kecewa dengan penggantungan dua pemain berkenaan antara sebulan hingga dua bulan, namun kami akur keputusan yang diputuskan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

"Tapi pastinya ketiadaan Ridzuan dan Aqil akan memberikan kesan kepada pasukan memandangkan dua pemain itu antara tonggak pasukan sejak musim lalu lagi dan aksinya tidak mengecewakan kami.

"Bagaimanapun hukuman itu diharapkan bukan saja memberi pengajaran berguna kepada dua pemain berkenaan, tapi kepada semua pemain agar tidak mengulangi lagi insiden itu," katanya ketika dihubungi.

Ketika ditanya pengganti dua pemain berkenaan, jurulatih berusia 46 tahun itu menyatakan sedang menguji beberapa pemain bagi mengisi posisi pertahanan dan sayap.

"Kita ada ramai pemain muda termasuk empat bekas pelatih Akademi Mokhtar Dahari (AMD) selain pemain sedia ada, jadi dengan berbaki kurang seminggu lagi ini saya akan mencuba beberapa pemain yang mampu menggalas tugas berkenaan," katanya.

Terdahulu Mohammad Ridzuan yang beraksi di posisi sayap digantung selama dua bulan sehingga 24 April 2022 dan didenda sebanyak RM4,000 selepas didapati menendang dan menumbuk pemain Penang FC ketika Kejohanan Empat Penjuru Piala Menteri Besar Terengganu pada 9 Februari lalu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Manakala Muhammad Aqil yang beraksi di posisi pertahanan tengah digantung selama sebulan sehingga 25 Mac 2022 dan didenda RM2,000 kerana didapati melakukan provokasi kepada pemain Penang FC dalam pertemuan itu.

TFC II bakal memulakan kempen Liga Perdana menentang UiTM FC Sabtu ini di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Februari 2022 @ 1:05 PM