CHONG Wei pada sidang media selepas majlis mesyuarat RTG, semalam. FOTO HAZREEN MOHAMAD
CHONG Wei pada sidang media selepas majlis mesyuarat RTG, semalam. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Buat julung kalinya Malaysia bakal mewujudkan premis 'Team MAS House' di Sukan Olimpik Paris 2024 nanti demi memastikan atlet yang bertanding berada di prestasi terbaik.

Idea itu tercetus daripada Datuk Lee Chong Wei yang juga Ahli Jawatankuasa Road To Gold (RTG) yang menyifatkan ia bertujuan untuk atlet Malaysia berasa lebih selesa serta dapat perkhidmatan lebih baik berbanding di perkampungan atlet yang mereka tinggal.

Bagi Chong Wei, dirinya yang pernah bermain di pentas Olimpik sebanyak empat kali melihat usaha mewujudkan 'Team Mas House' amat bagus kerana kontijen Malaysia di Paris nanti akan dapat akses tambahan seperti makanan dan bantuan daripada Institut Sukan Negara (ISN).

"Pengalaman saya pergi (Olimpik) pada tahun 2004 di Athens, 2008 (Greece) , 2012 (China) dan 2016 (Rio de Janeiro Brazil), makanan menjadi masalah bagi saya di Athens (2004) dan Rio de Janeiro (2016). Sebab itu perkara ini penting bagi atlet agar mereka dapat bersedia dengan baik, makan dengan baik dan tidur dengan baik.

"Selain makanan, 'Team MAS House' menyediakan perkhidmatan fisioterapi kepada atlet. Secara ringkas, 'Team Mas House' adalah untuk atlet merasa seperti di rumah (berada di Malaysia)," kata Chong Wei selepas mesyuarat Jawatankuasa RTG di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil semalam.

Sementara itu, Datuk Nicol David juga salah seorang Ahli Jawatankuasa RTG berkata, sokongan daripada ISN secara tidak langsung dapat membantu atlet mengekalkan aksi konsisten dan berikan prestasi terbaik apabila bertanding di pentas tertinggi dunia itu.

"Kita akan mempunyai kakitangan tambahan untuk terus memberi yang terbaik kepada atlet dan mereka akan berasa lebih selesa bila berada di 'Team MAS House' itu nanti.

"ISN memainkan peranan amat penting dalam karier saya selaku pemain skuasy dan perkara sama juga akan dilakukan kepada atlet dalam Program RTG serta yang bertanding di Paris nanti," katanya.

Terdahulu, Penyelaras Jawatankuasa Road To Gold (RTG), Datuk Stuart Ramalingam berkata, kontijen Malaysia bakal menerima perkhidmatan sokongan dari segi sains sukan serta perubatan tambahan yang terletak di Paris.

Usaha itu bertujuan untuk memberikan penjagaan menyeluruh kepada atlet dan sokongan melebihi daripada apa yang biasanya tersedia di dalam Perkampungan Olimpik, di mana akses kepada perkhidmatan khusus di situ agar terhad.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2024 @ 12:55 PM