HANNAH (kiri) hadir ke Program ALAM Be-Leaf Mangrove Tree Planting di Mangrove Point Pelabuhan Klang hari ini. -FOTO Bernama
HANNAH (kiri) hadir ke Program ALAM Be-Leaf Mangrove Tree Planting di Mangrove Point Pelabuhan Klang hari ini. -FOTO Bernama
Oleh Ruwaida Md ZainĀ 


Pelabuhan Klang: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memastikan semua atlet negara yang layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 dijaga dan diberikan sokongan kerajaan termasuk pemain badminton negara, Lee Zii Jia.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, semua atlet yang layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 termasuk Zii Jia akan diberikan sokongan menerusi Institut Sukan Negara (ISN).

"Pemain kita telah layak, saya tahu Lee Zi Jia menyasarkan emas untuk diri beliau.

"Walaupun beliau bukan atlet dalam program Road To Gold tetapi semua atlet yang layak ke Paris akan diberikan bentuk sokongan daripada KBS khasnya melalui ISN di sana.

"Kita akan pastikan semua atlet-atlet kita dijaga," katanya kepada media selepas menghadiri Program ALAM Be-Leaf Mangrove Tree Planting di Mangrove Point di sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, KBS sudah menyalurkan bantuan sewajarnya kepada semua atlet negara yang layak ke Paris, sama ada dalam Road To Gold ataupun tidak.

"Setakat hari ini memang segala nilai tambah servis yang mereka perlukan untuk ke Paris sudah kita salurkan.

"Tolong jangan ada apa-apa kecederaan pada masa ini sehingga Paris nanti," katanya.

Beliau juga mahu semua atlet negara mencontohi Pocket Roketman, Datuk Azizulhasni Awang dan kini diikuti pula dengan Zii Jia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2024 @ 6:28 PM