ZII Jia buru gelaran kedua tahun ini.
ZII Jia buru gelaran kedua tahun ini.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Hanya tinggal selangkah lagi buat pemain perseorangan profesional lelaki negara, Lee Zii Jia untuk merangkul gelaran kedua tahun ini apabila mara ke perlawanan akhir Terbuka Australia sebentar tadi.

Aksi pemain ranking kelapan dunia itu bagaimanapun sedikit mencemaskan di set pertama apabila tunduk mudah 10-21 kepada lawan dari Taiwan, Lee Chia Hao sebelum mempamerkan kebangkitan untuk menang 21-15, 21-10 pada baki dua set berikutnya.

Kemenangan itu menyaksikan Zii Jia merekodkan kemenangan ketiga ke atas lawan yang semakin meningkat naik itu dari enam pertemuan mereka sebelum ini.

Bekas juara Seluruh England itu kini merekodkan final ketiganya musim ini selepas muncul juara Terbuka Thailand dan naib juara Masters Malaysia, bulan lalu.

Menanti Zii Jia di pentas final itu adalah pemenang antara pilihan kedua dari Jepun, Kodai Naraoka dengan pemain Taiwan, Lin Chun Yi.

Sementara itu, hasrat beregu lelaki meningkat naik negara, Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian untuk teruskan kemaraan tidak kesampaian apabila tersingkir di separuh akhir selepas tewas di tangan pilihan pertama dari China, He Ji Ting-Ren Xiang Yu 18-21, 9-21.

Biarpun gagal ke final ia pencapaian terbesar dalam kerjaya mereka sejak digandingkan pada Ogos tahun lalu mengambil kira saingan Terbuka Australia bertaraf Jelajah Dunia BWF Super 500.

"Kami bermula dengan agak baik di set pertama, kami bermain dengan permainan kami. Tapi di set kedua kami sedikit tertekan bila lawan banyak beri tekanan selain kami melawan angin. Itu yang membuatkan kami banyak hilang mata," kata Haikal kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Sementara itu beregu campuran profesional, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing turut gagal ke final selepas tewas di tangan pilihan pertama dari China, Jiang Zheng Bang-Wei Ya Xin 11-21, 11-21 sekali gus menamatkan perjuangan mereka di Australia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 4:46 PM