WAN Arif dan Roy King atasi cabaran beregu ke-21 dunia dari Taiwan.
WAN Arif dan Roy King atasi cabaran beregu ke-21 dunia dari Taiwan.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Seramai enam wakil negara berjaya meneruskan perjuangan ke pusingan kedua Terbuka Thailand Super 500.

Mengetuai cabaran adalah dua pemain perseorangan iaitu Lee Zii Jia dan Leong Jun Hao selepas berjaya menewaskan lawan masing-masing.

Zii Jia menundukkan pemain China, Lei Lan Xi 21-17, 23-21 dalam tempoh 50 minit tetapi Leong Jun Hao dipaksa beraksi tiga set sebelum menunjukkan jalan keluar kepada Su Li Yang dari Taiwan 14-21, 21-15, 21-17.

Dalam acara beregu lelaki, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King yang mara ke final Super 300 Spain Masters pada Mac lalu mempamerkan aksi bertenaga untuk menundukkan beregu di ranking 21 dunia Lu Ching Yao-Yang Po Han dari Taiwan untuk mara ke pusingan kedua.

Mereka yang berada di ranking ke-64 dunia itu bangkit ketinggalan untuk menewaskan pilihan keenam kejohanan 16-21, 21-13, 21-16.

Beregu muda negara itu seterusnya akan menentang wakil Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard selepas ini.

Arif meluahkan rasa syukur kerana berjaya melepasi pusingan pertama tanpa ada sebarang kecederaan.

"Kami bergelut sedikit pada perlawanan pertama kerana kami tidak dapat bermain permainan kami. Syukur, kami berjaya menukar keadaan pada perlawanan kedua dan berjaya bertahan sehingga tamat permainan di set penentuan," kata Arif kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Mengulas mengenai kejayaan menewaskan pemain yang berkedudukan ranking lebih tinggi itu Arif berkata:

"Kami tidak mempunyai sebarang tekanan. Kami hanya bermain mengikut apa yang kami mahu main. Dari awal selepas melihat undian, kami berkata pada diri, kami hanya mahu menikmati setiap perlawanan di dalam gelanggang," katanya.

Turut melepasi pusingan pertama ialah Choong Hon Jian-Haikal Nazri. Beregu di ranking ke-28 dunia itu tidak berdepan masalah menewaskan pasangan dari Scotland, Christopher Grimley-Matthew Grimley 21-16, 21-11 untuk menempah pertemuan dengan dengan Pharanyu Kaosamaang-Worrapol Thongsa Nga dari Thailand.

Pasangan Thailand itu sebelum itu menewaskan wakil Malaysia, Chia Weijie-Liew Xun dengan 21-19, 21-12 pada pusingan pertama.

Dalam acara beregu campuran, cabaran negara di teruskan Yap Roy King- Valeree Siow yang menewaskan Lui Chun Wai-Fu Chi Yan dari Hong Kong 21-19, 21-17 dan akan menentang bekas juara dunia Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai dari Thailand.

Hon Jian-Go Pei Kee menewaskan pasangan tempatan Neuaduang Mangkornloi-Atitaya Povanon 21-10, 21-15 pada pusingan pertama, dan menentang pilihan ketujuh Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati pada pusingan kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2024 @ 10:28 PM