AARON-Wooi Yik tetap mengambil pendekatan berwaspada susulan peningkatan prestasi yang ditunjukkan beregu Taiwan. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
AARON-Wooi Yik tetap mengambil pendekatan berwaspada susulan peningkatan prestasi yang ditunjukkan beregu Taiwan. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik meneruskan kemaraan ke separuh akhir Seluruh England selepas menewaskan beregu Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana.

Persembahan mantap yang dipamerkan oleh Aaron-Wooi Yik yang diletakkan sebagai pilihan kelima menyaksikan mereka hanya memerlukan 31 minit untuk menjinakkan Shohibul-Bagas 21-14, 21-11.

Dalam aksi di set pertama Aaron-Wooi Yik diberi tentangan sengit oleh beregu Indonesia di awal permainan apabila saling berkejar mata demi mata sehingga mengikat kedudukan di 10 sama.

Namun rentak permainan Aaron-Wooi Yik semakin konsisten selepas itu apabila meraih lapan mata berturut-turut dan menamatkan kedudukan 21-14.

Episod yang sama berulang di set kedua apabila Aaron-Wooi Yik mula mendahului selepas mata ke-11 dan meraih lapan mata berturut-turut selepas itu untuk menamatkan perlawanan 21-11.

Kemenangan itu menyaksikan Aaron-Wooi Yik yang juga juara dunia 2022 mencatatkan rekod kemenangan bersih sepanjang lima pertemuan ke atas pasangan di ranking kesembilan itu.

"Kami gembira dengan kemenangan dan corak permainan hari ini. Kemenangan ini juga meningkatkan tahap keyakinan kami yang semakin baik.

"Sudah empat kali bertemu mereka sebelum ini dan gembira dapat mencatat satu lagi kemenangan," kata Wooi Yik kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Ia turut mengesahkan tempat buat Aaron-Wooi Yik ke temasya Olimpik Paris apabila berada di ranking kelima dalam senarai Race To Paris.

Mereka seterusnya akan bertemu pasangan Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan bagi perebutan tiket ke final, malam ini.

Walaupun menang semua tiga pertemuan ke atas lawan berkenaan sebelum ini namun Aaron-Wooi Yik tetap mengambil pendekatan berwaspada susulan peningkatan prestasi yang ditunjukkan beregu Taiwan itu sejak kebelakangan ini.

Sementara itu hasrat untuk melihat perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia turut mara ke separuh akhir Seluruh England buat kali kelima berturut-turut tidak kesampaian apabila tewas dalam pertarungan tiga set ke atas lawan dari India, Lakshya Sen.

Zii Jia yang juga juara edisi 2021 terpaksa akur biarpun menang di set pertama 22-20 namun tewas 16-21, 19-21 di dua set seterusnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2024 @ 10:31 AM