PEI Jing mara ke final bersama gandingan baru Chiew Sien.
PEI Jing mara ke final bersama gandingan baru Chiew Sien.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pemain badminton profesional wanita negara, Lai Pei Jing mengubati kekecewaan dalam acara beregu campuran apabila menempah tiket ke final beregu wanita bersama gandingannya, Lim Chiew Sien.

Kemenangan itu bagaimanapun tidak hadir dengan mudah apabila mereka terpaksa bertarung sehingga 80 minit sebelum dapat melakarkan kejutan menewaskan pilihan ketiga dari Hong Kong, Yeung Nga Ting-Yeung Pui Lam 21-13, 18-21, 21-14.

Kemenangan itu menyaksikan mereka berdepan beregu dari Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma dan Amallia Cahaya Pratiwi di pentas akhir esok.

Kejayaan Pei Jing-Chiew Sien itu menyaksikan Malaysia kini mempunyai dua wakil di pentas di Terbuka Australia.

Ia susulan kejayaan pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia yang turut mara ke final selepas menewaskan lawan dari Taiwan, Lee Chia Hao juga dalam pertarungan tiga set 10-21, 21-15, 21-10.

Bagi aksi final perseorangan lelaki Zii Jia yang menghuni ranking kelapan dunia itu akan berdepan pilihan kedua kejohanan dari Jepun, Kodai Naraoka yang menewaskan pemain Taiwan, Lin Chun-Yi 22-20, 23-21 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 5:53 PM