PENGARAH Kejurulatihan Beregu BAM, Rexy Mainaky (kiri) melutut sambil memeluk Aaron Chia manakala Soh Wooi Yik (kanan) berpelukan dengan Tan Bin Shen selepas perlawanan semalam. FOTO AP
PENGARAH Kejurulatihan Beregu BAM, Rexy Mainaky (kiri) melutut sambil memeluk Aaron Chia manakala Soh Wooi Yik (kanan) berpelukan dengan Tan Bin Shen selepas perlawanan semalam. FOTO AP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Rexy Mainaky pernah berkata, dia kembali ke negara ini kerana masih ada misi belum selesai.

Namun, satu misinya untuk memastikan juara dunia dari negara ini sudah terlaksana menerusi Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menamatkan penantian 45 tahun bergelar juara dunia, semalam.

Gandingan itu menewaskan beregu berpengalaman dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-19, 21-14 dalam tempoh 40 minit di Kejohanan Badminton Dunia, sekali gus mencipta sejarah negara.

Kini misi Rexy diteruskan lagi, bukan hanya mahu mahu menghasilkan emas pertama buat negara di pentas Olimpik, malah mahu lebih banyak wakil negara di pentas akhir di kejohanan besar.

"Memang sebelum saya kembali ke sini, saya ada cakap masih ada misi belum selesai. Antaranya mahu bawa pemain Malaysia menang juara dunia.

"Selain itu juga bukan hanya mahu memberikan pingat emas pertama di Olimpik, tapi saya mahu lebih banyak beregu negara di pentas akhir.

"Tengok masa Malaysia Masters, skuad Indonesia saja ada empat wakilnya di final.

"Jadi itulah misi saya untuk hasilkan lebih banyak beregu selain Aaron-Wooi Yik," katanya.

Sementara itu, Rexy yang pernah meraih gelaran juara dunia ketika bergandingan bersama Ricky Subagja di Lausanne pada 1995 berkata, berkata sememangnya kejayaan Aaron Chia-Soh Wooi Yik bergelar juara dunia perlu mendapat penghormatan terutama selepas apa yang mereka tempuhi.

Selepas lima tahun bersama sebagai beregu tanpa sebarang gelaran utama diraih dan memandangkan gelaran pertama hadir di kejohanan besar seperti Kejohanan Dunia, tindakan Rexy melutut meraikan kejayaan Aaron-Wooi Yik itu sebagai tanda hormat di atas kejayaan mereka amat mudah difahami.

"Kita harus tahu, situasi dalam seminggu itu sangat tinggi terutama dari semua peminat dan penyokong Malaysia.

"BAM sendiri nak lihat kita bisa buat sejarah untuk Malaysia menang gelaran di Kejohanan Dunia. Tekanan itu sangat tinggi.

"Malah seperti yang Aaron kata, tekanan paling besar adalah di separuh akhir dan bila mereka menang itu jadi kita perlu hormat apa perjuangan mereka dan apa mereka lakukan.

"Itu ekspresi saya, saya melutut untuk sambut kemenangan selepas apa yang mereka lalui di lapangan," kata Rexy yang turut pernah membawa pasangan negara Koo Kien Kiat-Tan Boon Heong mara ke final Kejohanan Dunia pada 2010 dan menamatkan saingan dengan pingat perak.

Sebaik Aaron-Wooi Yik melangkah keluar dari gelanggang selepas menewaskan Mohammad Ahsan dan Hendra Setiawan, 14, Rexy dilihat melutut kepada Aaron sebelum kedua-duanya saling berpelukan bagi meraikan kejayaan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Ogos 2022 @ 7:09 PM