NORZA (tengah) gaji berkenaan adalah sebahagian daripada usaha BAM untuk menaikkan semangat atlet berjuang untuk berikan yang terbaik. FOTO Bernama
NORZA (tengah) gaji berkenaan adalah sebahagian daripada usaha BAM untuk menaikkan semangat atlet berjuang untuk berikan yang terbaik. FOTO Bernama
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini mengumumkan tawaran gaji lumayan kepada mana-mana pemain yang berjaya menghuni kelompok 10 terbaik dunia.

Perkara itu dimaklumkan oleh Presiden BAM, Tan Sri Norza Zakaria di Akademi Badminton Malaysia selepas majlis pemberian insentif kepada pemenang pingat gangsa temasya Olimpik Rio, Aaron Chia-Soh Wooi Yik di Akademi Baminton Malaysia (BAM) hari ini.

Norza berkata, pihaknya akan meneliti semula skim pemberian gaji membabitkan atlet dan jurulatih yang mana pemain yang berjaya memasuki kelompok 10 terbaik dunia akan ditawarkan kenaikan gaji 100 peratus selepas ini.

Ia adalah sebagai semangat dan dorongan untuk kesemua pemain berusaha menempatkan diri dalam kedudukan itu yang mana ia turut membabitkan pemberian bonus selain beberapa inisiatif lain mengikut syarat yang ditetapkan badan induk itu.

"Ini adalah sebahagian daripada usaha BAM untuk menaikkan semangat atlet berjuang untuk berikan yang terbaik. Jika gaji mereka sebelum ini RM15, 000 mereka selepas ini akan mendapat RM30,000.

"Kita dapat lihat semangat mereka terutama selepas Aaron-Wooi Yik menang gangsa di Tokyo. Jam 8.30 beregu negara sudah ada di gelanggang untuk berlatih. Mereka perlu berusaha untuk dikenali dan meletakkan diri mereka di tempat terbaik sebagai juara," katanya.

Malah Norza turut mendedahkan bahawa BAM menawarkan kepada semua pemain di bawah naungannya tawaran RM1 juta kepada mana-mana pemain sama ada perseorangan atau beregu setiap seorang jika meraih emas di Tokyo tempoh hari dan ia tidak termasuk daripada insentif pemberian hadiah kemenangan sukan (Shakam).

Sementara itu dalam satu majlis ringkas di ABM, BAM menyerahkan wang tunai sebanyak RM120,000 sebagai insentif kejayaan Aaron-Wooi Yik di Tokyo.

Beregu nombor satu negara yang kini menghuni ranking kelapan dunia itu turut menerima wang tunai RM60,000 diberikan oleh penaja mereka iaitu 100Plus.

Jurulatih beregu lelaki, Flandy Limpele turut menerima wang tunai sebanyak RM30,000.

Pada majlis yang sama Norza turut mengumumkan pemberian insentif RM200,000 kepada Cheah Liek Hou atas kejayaannya meraih pingat emas di Sukan Paralimpik Tokyo.

Selain itu, BAM juga akan memberikan wang tunai RM50,000 kepada Datuk Rashid Sidek atas sumbangannya di Tokyo.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 September 2021 @ 2:43 PM