AKSI Aaron (kanan) dan Wooi Yik pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022, baru-baru ini. FOTO Aswadi Alias
AKSI Aaron (kanan) dan Wooi Yik pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022, baru-baru ini. FOTO Aswadi Alias
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mampu merealisasikan harapan seluruh rakyat negara ini untuk merangkul emas pertama negara di temasya Olimpik Paris 2024 nanti.

Namun ia terpulang kepada mereka sendiri bagaimana untuk merealisasikan perkara itu.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky berkata, semuanya terletak di tangan beregu negara itu untuk mencari jalan dan mencorakkan usaha menggapai impian itu.

Katanya, tempoh yang ada ketika ini perlu digunakan sebaik mungkin oleh pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo itu dengan melakukan persiapan terbaik.

"Mereka perlukan sedikit lagi usaha untuk menang emas di Olimpik nanti.

"Saya beritahu mereka, ketika kali pertama saya beraksi di Olimpik, saya mara sehingga ke suku akhir dan edisi seterusnya saya berjaya menang emas. Mereka pula kali pertama sudah mampu menang gangsa.

"Jadi mereka perlu berusaha lagi untuk menang emas di Paris. Tapi semuanya terpulang pada mereka bagaimana untuk 'push' diri sendiri," katanya.

Rexy berkata, hasil daripada perbincangan dari hati ke hati, Aaron-Wooi Yik meluahkan hasrat untuk menjadi pemain Malaysia pertama memenangi emas dan juga muncul juara dunia.

Namun semuanya perlu dilakukan sekarang dan Rexy turut berharap pasangan nombor tujuh dunia itu dapat menamatkan kemarau kejuaraan di pantas antarabangsa tahun ini.

Peluang Aaron-Wooi Yik untuk meraih gelaran pertama mereka sejak digandingkan pada 2017 adalah pada saingan Terbuka Jerman yang akan berlangsung bermula 8 hingga 13 Mac ini.

Pasangan itu akan membuka tirai saingan menentang rakan senegara, Goh V Shem-Low Juan Shen di pusingan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Februari 2022 @ 5:52 PM