BEREGU lelaki nombor satu negara, Aaron Chia (kanan) dan Soh Wooi Yik akan berdepan gandingan Indonesia di suku akhir Tokyo 2020, esok. FOTO Bernama
BEREGU lelaki nombor satu negara, Aaron Chia (kanan) dan Soh Wooi Yik akan berdepan gandingan Indonesia di suku akhir Tokyo 2020, esok. FOTO Bernama
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Di atas kertas, peluang mungkin tidak memihak kepada beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik apabila menentang pasangan Indonesia, Kevin Sanjaya Sukamuljo-Marcus Fernaldi Gideon dalam aksi suku akhir di Tokyo 2020, esok.

Namun itu bukan penentu segalanya kerana apa saja mungkin berlaku di dalam gelanggang dengan jurulatih negara, Flandy Limpele tetap optimis kemampuan pasangan berkenaan.

Mengikut rekod pertemuan sebelum ini, Aaron-Wooi Yik yang kini menghuni ranking kesembilan dunia belum pernah menewaskan pasangan nombor satu dunia dari Indonesia itu sepanjang tujuh pertemuan termasuklah kekalahan di pentas Seluruh England pada 2020.

Justeru pertemuan kali ini diharapkan mampu memberi tuah bagi Aaron-Wooi Yik menamatkan badi kekalahan itu.

Flandy mengakui, undian itu sukar tapi itu bukan alasan untuk anak didiknya tidak memberikan yang terbaik seterusnya mara ke separuh akhir.

"Ia satu undian sukar. Bagaimanapun kita akan bagi tentangan. Saya harap mereka boleh bermain lebih baik, dapat mengawal tekanan dan yakin dalam serangan.

"Saya akan merancang dengan baik dan perlawanan terakhir mereka (peringkat kumpulan) boleh menjadi penanda aras. Tapi semua itu perlu disesuaikan dengan keadaan.

"Sebagai jurulatih saya akan melakukan tugas untuk membimbing dan membantu mereka dan mereka pula perlu lakukan tugas besar untuk melawan. Tidak mudah tapi kita akan terus cuba," katanya.

Sementara itu, Aaron mengakui tidak kisah bertemu dengan sesiapa saja kerana akan berusaha mencari pendekatan terbaik untuk menewaskan lawan.

"Jumpa sesiapa pun sama saja. Jumpa Kevin-Marcus ke, kami tetap akan lawan mereka habis-habisan. Ini adalah Olimpik, semua orang nak menang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Julai 2021 @ 4:20 PM