WOOI Yik (kanan) dan Aaaron pamer prestasi cemerlang. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
WOOI Yik (kanan) dan Aaaron pamer prestasi cemerlang. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Kebangkitan yang dipamerkan oleh beregu nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menampakkan sinar buat negara dalam memburu pingat di temasya Olimpik Paris Julai ini.

Selepas aksi longlai beberapa pemain utama di kejohanan awal, kejayaan Aaron-Wooi Yik yang melangkah ke pentas akhir Seluruh England memberikan harapan buat negara.

Apa yang penting ketika ini adalah untuk mengekalkan aksi konsisten yang dilihat menjadi kelemahan utama pemain negara ketika ini.

Perkara itu disuarakan oleh bekas Pengarah Prestasi Tinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk James Selvaraj.

James berkata, Aaron-Wooi Yik perlu percaya pada diri yang mereka mampu untuk menang ke atas siapa saja lawan kerana dalam badminton tiada yang mustahil.

"Masalah utama yang sering dihadapi adalah konsistensi. Kita boleh lihat prestasi pemain negara. Hari ini mereka menang dengan lawan yang ranking lebih tinggi, esok mereka tewas kepada lawan yang lebih rendah.

"Itu antara kelemahan yang perlu mereka perbaiki. Mereka perlu percaya pada diri bahawa mereka mampu untuk kalahkan siapa saja.

"Bila masuk gelanggang tak boleh takut. Jika mereka tak percaya dengan diri sendiri, perasaan takut kalah itu akan datang. Jadi kenalah percaya mereka mampu lakukan," katanya.

Kejayaan Aaron-Wooi Yik itu menyaksikan mereka berjaya mengulangi pencapaian lima tahun lalu mara ke pentas akhir Seluruh England.

Malah Aaron mengakui bahawa ia satu perasaan yang amat menggembirakan apabila dapat menempatkan diri ke pentas akhir.

Sebagai rekod, Aaron-Wooi Yik berjaya memenangi gangsa pada penampilan sulung mereka di Olimpik Tokyo 2020.

Mereka juga berjaya memenangi gelaran juara dunia pada 2022 selain meraih gangsa di Sukan Asia Hangzhou tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2024 @ 4:29 PM