AKSI  Zii Jia menentang Sameer  di Axiata Arena, Bukit Jalil.  FOTO Eizairi  Shamsudin
AKSI Zii Jia menentang Sameer di Axiata Arena, Bukit Jalil. FOTO Eizairi Shamsudin
Ferzalfie Fauzi


SELEPAS semakin selesa beraksi di Masters Malaysia, pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mengakui perlu berhati-hati menjelang aksi suku akhir berdepan jaguh China, Shi Yuqi esok.

Selepas menumbangkan Sameer Verma di pusingan kedua 21-19, 22-20 hari ini, Zii Jia mengakui perlu berhati-hati untuk berdepan Shi Yuqi walaupun pemain itu baru pulih dari kecederaan.

"Bagi perlawanan esok saya tidak fikir banyak, ini perlawanan ketiga kami selepas dua kali saya tumpas. Esok saya mahu beri tentangan sengit atau melakukan kejutan," katanya selepas perlawanan tamat di Arena Axiata.

Zii Jia yang ingin membalas dendam di atas dua kekalahan sebelum ini di Piala Sudirman 2019 dan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2018, mengakui pemain pilihan ketujuh itu mula menunjukkan peningkatan.

"Saya harap dapat balas dendam walaupun sejak kembali dari kecederaan Oktober lalu dia mula mencari rentak untuk kembali pada prestasi terbaik," katanya.

Ditanya mengenai aksi bertemu Sameer hari ini, Zii Jia mengakui dia mempamerkan aksi sama di kedua-dua set, di mana perlu bangkit dari ketinggalan.

"Selepas dia mendahului, saya perlu mencari rentak untuk kembali bangkit. Bagaimanapun, saya gembira dengan kebangkitan itu dan corak permainan saya semakin meningkat. "Bertemu pemain seperti Sameer membuatkan kita perlu banyak bersabar sebab dia lebih gemar untuk bermain rali panjang," kata pemain berusia 22 tahun itu yang sekarang ini menghuni ranking ke-14 dunia.

Tahun lalu pemain kelahiran Kedah itu terkandas di suku akhir selepas kalah straight set 12-21, 20-22 kepada Viktor Axelsen dari Denmark. Kelmarin Zii Jia berjaya mengejutkan naib juara Dunia 2019, Anders Antonsen selepas menang 14-21, 21-15, 21-8

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 January 2020 @ 9:15 PM