WOOI Yik (kiri) melafaz ikrar pada majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada pemain skuad Piala Thomas dan Uber negara, hari ini. FOTO AMIRUDIN SAHIB
WOOI Yik (kiri) melafaz ikrar pada majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada pemain skuad Piala Thomas dan Uber negara, hari ini. FOTO AMIRUDIN SAHIB
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mencabar barisan pemain yang mengalas tugas di Piala Thomas untuk bangkit mencipta sejarah baru sukan badminton negara.

Ini adalah masa terbaik buat pemain yang akan beraksi di Chengdu, China dari 28 April hingga 5 Mei untuk menamatkan kemarau 32 tahun menjulang trofi berprestij itu.

Katanya, misi bergelar juara bukan satu yang mustahil kerana beliau melihat pemain mempunyai kemampuan dan semangat patriotik untuk mempertahankan maruah negara sebagai kuasa badminton.

"Kita jangan hidup dengan nostalgia lama, sudah masanya mereka bangkit untuk bina sejarah baru.

"Kita tidak boleh dibuai mimpi indah bahawa kita adalah kuasa besar dunia jika kita tak melakar gelaran di kejohanan dunia, Piala Thomas dan pingat emas (Sukan Olimpik)," katanya.

Norza yang ditemui selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada pasukan Piala Thomas/Uber negara menegaskan barisan pemain mengalas misi kali ini adalah yang terbaik dan berpengalaman.

Dalam perkembangan sama, Norza tidak menafikan ganjaran lumayan menanti barisan pemain sekiranya berjaya membawa pulang Piala Thomas yang kali terakhir dimenangi negara pada 1992.

Namun beliau tidak mendedahkan nilai ganjaran berkenaan.

"Kita berada dalam keadaan selesa untuk memberikan mereka insentif dan ganjaran itu sesuai dengan dengan nilai prestij Piala Thomas.

"Apapun kita biar mereka fokus dan main dulu dan bukan main semata-mata untuk duit, sebaliknya demi negara dan maruah kita sebagai 'badminton nation' dikekalkan," katanya.

Sebagai rekod, sejak memenangi Piala Thomas pada 1992, pencapaian terbaik Malaysia adalah muncul naib juara sebanyak empat kali iaitu pada edisi 1994 di Jakarta diikuti Hong Kong (1998), Guangzhou (2002) serta New Delhi (2014).

Malaysia membariskan empat pemain perseorangan lelaki iaitu Lee Zii Jia, Leong Jun Hao, Cheam June Wei dan Justin Hoh dan tiga beregu iaitu Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri.

Selain 1992, Malaysia pernah menjulang Piala Thomas pada 1967, 1955, 1952, 1949.

Dalam pada itu, Norza turut mengakui perburuan Piala Thomas tahun ini, menjadi yang terakhir buatnya sebagai Presiden BAM.

"Sebagaimana saya katakan kerja saya sebagai presiden akan berakhir di Olimpik, jadi di BAM sekarang sedang melalui proses transisi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2024 @ 5:36 PM