NORZA bimbang dengan prestasi pemain badminton negara.
NORZA bimbang dengan prestasi pemain badminton negara.
Helmi Talkah


PRESIDEN Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria memberi amaran kepada barisan pemain negara betapa sekarang ‘bukan lagi masa untuk main-main’.

Sebaliknya, mereka perlu segera bangkit berdasarkan situasi terkini arena badminton negara yang dianggap membimbangkan jika dibandingkan dengan peningkatan mendadak ditunjukkan negara bukan tradisi dalam badminton seperti India, Taiwan, Hong Kong dan Jepun.

“Sebagai contoh untuk kategori perseorangan lelaki, India mempunyai tiga pemain dalam kelompok 20 terbaik dunia, tetapi Malaysia hanya ada seorang. Bagi kategori beregu lelaki, Indonesia ada lima pasangan dan Taiwan ada tiga pasangan dalam kelompok 20 dunia tetapi Malaysia ada satu pasangan saja.

“Kategori perseorangan wanita pula menyaksikan Taiwan ada tujuh pemain dalam kelompok 50 dunia tetapi Malaysia seorang saja. Beregu wanita pula Malaysia ada tiga pasangan dalam kelompok 50 dunia manakala Jepun ada sembilan pasangan.

“Malaysia ada tiga pasangan dalam kelompok 50 dunia bagi beregu campuran manakala Taiwan ada enam. Berdasarkan statistik, ini ia menunjukkan dimana kita berada ketika ini.

“Ia sangat membimbangkan kecuali pemain sedar dengan situasi ini dan bangkit. Mereka perlu tahu tempoh bulan madu sudah tamat,” kata Norza ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat ahli majlis BAM di Akademi Badminton Malaysia (BAM) di sini, hari ini.

BAM tampak serius dalam memastikan pemain benar-benar fokus terhadap tanggungjawab mereka apabila memperkenalkan sistem keluar masuk dengan akan ada pemain digugurkan dan pemain baharu dibawa masuk andai tidak mencapai prestasi yang ditetapkan badan induk itu.

Proses ini akan dijalankan sebanyak dua kali setahun iaitu pada Februari dan Ogos seperti diumumkan Norza sebelum ini.

Dalam perkembangan lain, Norza mengumumkan pelantikan Datuk Lawrence Chan untuk membantu mempersiapkan skuad negara menghadapi Piala Thomas/Uber di Bangkok, Thailand, Mei tahun depan.

BAM turut melantik Frederick Tan yang sebelum ini berkhidmat dengan Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang sebagai pakar psikologi badan induk itu bersama kontrak setahun.

“Datuk Lawrence bersama kumpulannya adalah individu bertanggungjawab membantu persiapan skuad negara ketika menjuarai Piala Thomas 1992. Kehadiran beliau adalah untuk berkongsi pengalaman dan memberi motivasi kepada pasukan.

“Saya percaya gandingan Datuk Lawrence dan Frederick Tan mampu mempersiapkan pasukan kita pada tahap terbaik terutama dalama aspek kekuatan mental yang mana kita memang lemah dalam hal ini,” kata Norza.

Lawrence adalah Pengerusi Eksekutif Personal Development Leadership Management Corporation (M) Sdn Bhd yang berperanan memberi bimbingan dan latihan untuk meraih kejayaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2017 @ 6:08 PM