NORZA ketika sidang media selepas Mesyuarat Majlis BAM di Akademi Badminton Bukit Kiara hari ini. FOTO BERNAMA
NORZA ketika sidang media selepas Mesyuarat Majlis BAM di Akademi Badminton Bukit Kiara hari ini. FOTO BERNAMA
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menjelaskan tidak ramai berpeluang untuk mewakili skuad negara.

Menurutnya, di negara lain pemain akan bermati-matian mewakili negara untuk berjuang demi negara.

"Jasa dan sumbangan kamu kepada negara akan dikenang oleh seluruh rakyat Malaysia," kata Norza mengenai penyertaan barisan pemain di Piala Thomas 2024 yang berkemungkinan tidak disertai pemain profesional negara, Lee Zii Jia.

Ujarnya, pengalaman mewakili negara tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.

"Jadi saya harap, kita akan ada pasukan yang kuat. Kita boleh lihat (prestasi) di BATC (Kejohanan Badminton Berpasukan Asia), kita bariskan pasukan terbaik dan dapat bermain di final (walaupun bukan pasukan terbaik).

"Kita di landasan tepat kalau kita ada pemain yang betul dan ingin berjuang untuk negara," kata Norza ketika ditanya media sekiranya semangat patriotisme menjadi kriteria utama dalam memilih pemain selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) BAM ke-79 di sini, hari ini.

Ketika ini, kem perseorangan negara berada dalam keadaan panik apabila pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong masih dalam proses pemulihan daripada kecederaan belakangnya.

Status penyertaan Zii Jia turut menimbulkan persoalan selepas Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia, Rexy Mainaky memaklumkan pemain ranking ke-11 dunia itu masih belum pasti mewakili negara pada kejohanan itu.

"Saya rasa semua yang berada di kelompok ranking tertinggi ingin dan mahu bersama-sama dengan pasukan ini. Tak kisah Lee Zii Jia, Ng Tze Yong dan Leong Jun Hao atau sesiapa pun. Saya fikir mereka semua mahu berada dalam pasukan.

"Kita mahu pasukan berkualiti yang dihantar kerana pasukan berkualiti itu juga melambangkan maruah kita. Apabila kita pergi seorang, itu maruah untuk seorang. Tapi bila kamu pergi sebagai sebuah pasukan, itu maruah negara kita. Lambang negara kita, kita kena pelihara kerana itu adalah tanggungjawab kita bersama," kata Norza.

Pada saingan Piala Thomas hujung bulan ini, Malaysia berada satu kumpulan bersama Denmark, Hong Kong dan Algeria.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2024 @ 9:32 PM