AKSI Zii Jia semalam. FOTO ASYRAF HAMZAH
AKSI Zii Jia semalam. FOTO ASYRAF HAMZAH
Helmi Talkah


Kuala Lumpur: Pasukan Lee Zii Jia (Team LZJ) tampil mempertahankan pemain perseorangan lelaki profesional negara itu susulan kontroversi yang berlaku di zon temu bual (mixed zone) di Sukan Asia Hangzhou, semalam.

Insiden berkenaan tercetus selepas kekalahannya di tangan pemain Korea Selatan, Jeon Hyeok Jin pada pusingan pertama acara berpasukan.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan di media sosial pasukan itu, hari ini, Team LZJ menafikan dakwaan bahawa Zii Jia sengaja menamatkan temu bual bersama pemberita yang membuat liputan seperti yang dilaporkan media Malaysia.

Katanya, Zii Jia bertindak secara profesional ketika ditemu bual pemberita selepas tamat perlawanan.

Jelasnya, pemain ranking ke-16 dunia itu terpaksa menghentikan temu bual bagi mematuhi had masa antara satu setengah hingga dua minit seperti yang ditetapkan oleh penganjur Sukan Asia.

"Dengan penuh rasa kecewa, Team LZJ berasa ada keperluan untuk kami tampil memberi penjelasan terhadap laporan yang dibuat beberapa media Malaysia.

"Laporan yang mendakwa Team LZJ dan Lee Zii Jia sendiri mencipta kontroversi dengan memendekkan temu bual selepas perlawanannya bersama pasukan Malaysia di Hangzhou pada Khamis, 28 September 2023.

"Team LZJ tidak akan sekali-kali melakukan tindakan sebegitu. Apa yang berlaku di zon temu bual adalah bawah bidang kuasa penganjur Sukan Asia," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, Team LZJ berasa kecewa dengan laporan berkenaan dan mendakwa ia mencemarkan reputasi bekas juara Seluruh England itu.

"Team LZJ, termasuk Lee Zii Jia, sentiasa menghormati perananan media negara yang menjadi entiti penting dalam membentuk Lee Zii Jia secara peribadi dan dalam kerjayanya sebagai atlet.

"Team LZJ sentiasa berusaha sebaik mungkin untuk memenui kehendak media negara dan kami tidak pernah mengelak daripada menawarkan perspektif mengenai persembahan, walaupun keadaan tidak memihak kepada kami.

"Team LZJ sentiasa terbuka menerima kritikan mengenai prestasi kami kerana ia adalah sebahagian daripada kehidupan atlet dalam sukan berprestasi tinggi.

"Bagaimanapun, pada ketika ini, kami merasakan bahawa kami mengalami pembunuhan watak yang tidak wajar dalam laporan mengenai Lee Zii Jia.

"Team LZJ amat memahami kekecewaan anda atas ketidakupayaan kami untuk mendapatkan mata untuk pasukan, dan kami memohon maaf," katanya.

Ketika Zii Jia sedang menjawab soalan pemberita di zon temu bual di Gimnasium Binjiang, seorang pegawai dilihat meminta temu bual ditamatkan sebelum membawa pemain itu keluar sekali gus membuatkan pemberita yang berada di situ tergamam.

Selain Zii Jia, seorang lagi pemain perseorangan lelaki, Ng Tze Yong dan beregu, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin turut mengalamai kekalahan sekali gus menyaksikan Malaysia tewas 1-3 di tangan Korea.

Hanya beregu lelaki, Aaron-Soh Wooi Yik yang berjaya menyumbang mata kepada skuad negara dalam perlawanan, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2023 @ 8:44 PM