Pemain utama perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia
Pemain utama perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Kem badminton negara menerima khabar gembira apabila dikhabarkan pemain utama perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia akan bersama-sama dalam skuad kebangsaan untuk mengharungi saingan Piala Thomas di Chengdu, China dari 28 April hingga 5 Mei ini.

Menurut Zii Jia, rekodnya sebelum ini ketika beraksi bersama negara dalam pertandingan berpasukan adalah cemerlang sekali gus mengharapkan perkara sama juga akan berlaku untuk kejohanan akan datang iaitu Piala Thomas kelak.

"Seperti yang anda tahu saya sentiasa menyertai kejohanan berpasukan, tidak kira Piala Thomas atau Piala Sudirman dan saya menghasilkan keputusan yang bagus, jadi saya berharap dapat menyertai lagi untuk kali ini.

"Ketika ini pihak pengurusan sedang melakukan perbincangan dan meneliti semua aspek bersama BAM (Persatuan Badminton Malaysia). Diharapkan kami dapat mencapai kata putus yang baik untuk menyertai Piala Thomas kali ini," katanya.

Terdahulu Arena Metro melaporkan pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia belum pasti menyertai skuad negara atau sebaliknya bagi menghadapi saingan Piala Thomas di Chengdu, China, bermula 28 April sehingga 5 Mei depan.

Hal ini kerana, pihak yang menguruskan pemain itu, Team LZJ serta jurulatihnya, Wong Tat Meng memerlukan sedikit masa lagi untuk membuat keputusan.

Situasi terbabit didedahkan oleh Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky selepas mengadakan pertemuan bersama pengurus, Lee Zii Yii dan Tat Meng, awal bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2024 @ 1:21 PM