ZII Jia kecundang awal dalam dua kejohanan berturut-turut. FOTO BADMINTON PHOTO
ZII Jia kecundang awal dalam dua kejohanan berturut-turut. FOTO BADMINTON PHOTO
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia masih dihantui masalah kurang konsisten di aksi antarabangsa apabila terkandas di pusingan kedua Terbuka India, awal pagi hari ini.

Kali ini, pemain China, Li Shi Feng tampil memalukan pemain nombor dua dunia itu bagi menempah slot ke suku akhir.

Zii Jia tidak dapat mempamerkan aksi sebenar ketika beraksi lebih sejam apabila tumpas 11-21, 21-14, 18-21, mengulangi episod tersingkir seawal pusingan pertama di laman sendiri di Terbuka Malaysia kepada pemain Jepun, Kodai Naraoka, minggu lalu.

Ini adalah kekalahan kedua dialami Zii Jia kepada pemain ranking ke-22 dunia itu apabila kali pertama dia menjadi mangsa di pusingan kedua Masters China 2018.

Dia selepas itu kembali mengikat rekod pertemuan 1-1 apabila menang dalam aksi final Terbuka Thailand, tahun lalu.

Faktor ketiadaan jurulatih mungkin memberi kesan terhadap permulaan buruknya awal tahun ini apabila tidak lagi menggunakan lagi khidmat Indra Wijaya sejak November lalu.

Turut terkandas di pusingan kedua ialah beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang kalah 21-23, 12-21 kepada pilihan keempat dari China, Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 January 2023 @ 8:07 AM