AKSI Zii Jia ketika menentang Shesar. FOTO BAM
AKSI Zii Jia ketika menentang Shesar. FOTO BAM
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia kembali bangkit selepas memenangi pusingan pertama Terbuka India sebentar tadi dengan menumpaskan wakil Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito.

Bagaimanapun, Zii Jia meresahkan peminat badminton negara apabila tumpas di set pertama sebelum bangkit mencatat kemenangan 20-22, 21-19, 21-12 dalam aksi selama satu jam tiga minit di Kompleks Sukan Indira Ghandi, New Delhi.

Minggu lalu Zii Jia memulakan aksi 2023 dengan mengecewakan di laman sendiri selepas kalah di tangan wakil Jepun, Kodai Naraoka di pusingan pertama Terbuka Malaysia.

Menanti Zii Jia, yang juga pemain nombor dua dunia, di pusingan kedua selepas ini ialah pemain China Li Shi Feng yang menewaskan pemain negara Ng Tze Yong 21-19, 21-14.

Zii Jia sekarang ini bukan sahaja bergerak secara profesional malah tanpa jurulatih selepas tidak lagi menggunakan khidmat pengendali dari Indonesia, Indra Wijaya sejak November tahun lalu.

Sementara itu, beregu campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai terkandas di pusingan pertama apabila kalah kepada pasangan nombor satu dunia dari China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong 11-21, 7-21.

Sebelum itu seorang lagi wakil perseorangan lelaki, Liew Daren terpaksa menarik diri ketika ketinggalan 9-11 di set pertama akibat kecederaan sekali gus memberikan kemenangan percuma buat wakil Denmark, Hans Kristian Solberg Vittinghus.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 January 2023 @ 8:48 PM