AKSI Pang Ron dan Ee Wei ketika menentang pasangan Belanda. FOTO BAM
AKSI Pang Ron dan Ee Wei ketika menentang pasangan Belanda. FOTO BAM
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Toh Ee Wei melakar kejutan menewaskan beregu ke-20 dunia dari Belanda, Robin Tabeling-Selena Piek untuk mara ke suku akhir Terbuka Jepun, hari ini.

Mereka yang menghuni ranking ke-62 mempamerkan kebangkitan dengan memberi tentangan sengit untuk menang 29-30, 21-18, 21-11 dalam aksi pusingan kedua kejohanan yang berlangsung di Maruzen Intec Arena di Osaka.

Bagaimanapun, Pang Ron-Ee Wei bakal berdepan laluan getir di suku akhir apabila dijadualkan berdepan juara dunia dari China, Zheng Siwei-Huang Ya Qiong esok.

Mengulas mengenai kemenangan mereka, Ee Wei berkata, dia bersama Pang Ron tetap fokus biarpun tewas di set pertama dalam pertarungan sengit 29-30.

"Lawan bermain dengan baik tapi kami tetap cuba untuk fokus dan bangkit di set kedua. "Cuma di suku akhir kami tak mahu fikir terlalu banyak sebab kami akan berdepan juara dunia. Apa yang penting kami akan beri yang terbaik dan mengambil pendekatan 'nothing to lose'," katanya.

Turut mara ke suku akhir beregu campuran profesional, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing selepas menundukkan pasangan Taiwan, Yang Po Hsuan-Hu Ling Fang 14-21, 21-11, 21-15.

Menanti mereka di suku akhir satu lagi beregu dari China yang juga pilihan keempat Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping.

Sementara itu harapan untuk menyaksikan emas beregu wanita Sukan Komanwel Birmingham 2022, Pearly Tan-M Thinaah mara tidak kesampaian apabila menarik diri selepas Pearly mengalami kecederaan hamstring ketika mereka ketinggalan 11-16 di set ketiga kepada pasangan Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee Yu Lim.

Terdahulu, Pearly-Thinaah menang set pertama 21-13 sebelum tewas 19-21 di set kedua. Beregu wanita profesional, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien turut terkandas di pusingan kedua apabila tunduk di tangan pilihan pertama dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan 16-21, 14-21.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 September 2022 @ 4:17 PM