ZII Jia gagal kekalkan momentum.
ZII Jia gagal kekalkan momentum.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Impian pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia untuk meneruskan kemaraan di Terbuka India tidak kesampaian.

Ia selepas dirinya ditunjuk jalan keluar pada aksi suku akhir hari ini apabila tewas 21-13, 9-21, 16-21 di tangan pilihan kedua dari Jepun, Kodai Naraoka pada perlawanan di Dewan Tertutup K D Jadhav.

Zii Jia yang kandas seawal pusingan pertama Terbuka Malaysia minggu lalu, dapat memberikan saingan sengit dengan memenangi set pertama namun dia gagal mempamer aksi konsisten apabila tewas pada dua pusingan seterusnya.

Pertemuan hari ini adalah kali keempat membabitkan kedua-dua pemain dengan Naraoka mengungguli tiga daripada pertemuan itu.

"Saya sudah cuba melakukan yang terbaik dalam perlawanan hari ini. Apabila anda bermain menentang Naraoka, semuanya adalah mengenai kesabaran, anda perlu mempunyai tahap kesabaran yang tinggi.

"Pada set kedua dan set ketiga terutamanya selepas 11 mata, saya hilang sabar dan ia memberi kesan kepada saya," kata Zii Jia kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas tamat perlawanan.

Nasib sama juga menimpa beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai yang terpaksa akur tewas straight set 18-21, 13-21 di tangan pasangan China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin.

Kekalahan Zii Jia serta Soon Huat-Shevon menyaksikan sandaran negara kini diletakkan di atas bahu beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang akan turun beraksi di suku akhir menentang pasangan China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi, malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2024 @ 7:13 PM