PANG Ron akan duduk bersama Mei Xing akan menilai kelemahan dan perbaikinya. FOTO FATHIL ASRI
PANG Ron akan duduk bersama Mei Xing akan menilai kelemahan dan perbaikinya. FOTO FATHIL ASRI
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Pemain beregu campuran negara, Hoo Pang Ron mengakui dia tidak sabar beraksi bersama pasangan baharunya, Teoh Mei Xing di kejohanan Terbuka Malaysia 2023.

Menurut Pang Ron, untuk kejohanan itu, dia dan Mei Xing tidak meletakkan sebarang sasaran yang tinggi sebaliknya mahu terus membalas kepercayaan jurulatih yang menggandingkan mereka dengan memberikan aksi yang terbaik.

"Kami akan melakukan yang terbaik pada perlawanan pertama terlebih dahulu. Saya dan Mei Xing akan duduk bersama menonton semula aksi kami berdua, menilai kelemahan dan perbaikinya.

"Paling utama adalah mempamerkan peningkatan di Terbuka Malaysia," kata Pang Ron, ditemui ketika sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) baru-baru ini.

Berdasarkan senarai terkini ranking dunia yang dikemaskini 27 Disember lalu, gandingan Pang Ron-Mei Xing melonjak 11 tangga, ke tangga ke-158 dunia.

Kenaikan ranking itu dibantu kejayaan mereka muncul juara Cabaran Antarabangsa Malaysia, mengatasi Chen Tang Jie-Toh Ee Wei 18-21, 21-15, 21-19 di final.

Namun cabaran besar menantinya di pusingan pertama Terbuka Malaysia 10-15 Januari depan.

Pang Ron-Mei Xing akan berdepan gandingan campuran Jepun, Kyohei Yamashita-Naru Shinoya yang menghuni ranking ke-13 dunia, ketika ini.

Jika berjaya melakukan kejutan, tugas getir menanti mereka iaitu pasangan Rinov Rivaldy-Pitha Hanigtyas Mentari dari Indonesia (14).

Selepas Terbuka Malaysia, gandingan itu dijangka beraksi di Terbuka India atau Terbuka Thailand.

"Setakat ini belum ada perancangan, namun kami bergantung kepada perancangan jurulatih Nova Widianto," kata Pang Ron lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Disember 2022 @ 5:33 PM