Wei Chong-Kai Wun muncul juara Terbuka Taiwan. FOTO Badminton Photo
Wei Chong-Kai Wun muncul juara Terbuka Taiwan. FOTO Badminton Photo
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun melakar kejutan terbesar dalam karier mereka apabila berjaya merangkul gelaran juara Terbuka Taiwan sebentar tadi.

Lebih membanggakan Wei Chong-Kai Wun yang kini menghuni ranking ke-36 dunia itu berjaya memalukan juara Olimpik Lee Yang-Wang Chi-Lin di tempat sendiri.

Diletakkan sebagai pilihan keenam, Wei Chong-Kai Wun mempamerkan aksi penuh bertenaga untuk menewaskan pilihan pertama kejohanan dalam pertarungan tiga set 21-18 11-21 21-18 dalam aksi yang memakan masa 54 minit.

Ia adalah kejayaan kedua buat beregu negara itu selepas berjaya merangkul kejuaraan sulung tahun ini di Cabaran Antarabangsa Syed Modi, India Januari lalu.

Kedua-dua pemain negara itu mempamerkan aksi konsisten seawal pusingan pertama di kejohanan bertaraf Super 300 itu apabila memenangi kesemua perlawanan dengan straight set.

Pastinya ia memberi berita gembira buat kem beregu badminton negara rentetan kekalahan di sepanjang lima siri Jelajah Dunia BWF.

Sementara itu dalam acara beregu wanita, beregu Hong Kong, Lee Chun Hei-Ng Tsz Yau berjaya muncul juara selepas menewaskan lawan dari Thailand Ruttanapak Oupthong-Chasinee Korepap 21-8 21-9.

Dalam acara perseorangan lelaki dan wanita di ungguli wakil tuan rumah. Chou Tien Chen muncul juara acara perseorangan lelaki selepas menundukkan pemain Jepun, Kodai Naraoka, 14-21 21-10 21-6 manakala Tai Tzu Ying menewaskan pemain Jepun, Saena Kawakami 21-17 21-16.

Manakala acara beregu wanita dimenangi Ng Tsz Yau-Tsang Hiu Yan dari Hong Kong yang menundukkan pasangan Jepun, Rui Hirokami-Yuna Kato 21-15 18-21 21-19

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Julai 2022 @ 6:05 PM