AKSI Zii Jia ketika menentang Johnnie.
AKSI Zii Jia ketika menentang Johnnie.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Skuad badminton Piala Sudirman negara berjaya melepasi halangan apabila menewaskan England 3-2 dalam aksi pertama Kumpulan D di Vantaa, Finland hari ini.

Barisan pemain negara tampil lebih bersemangat apabila beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See yang kini berada di ranking ke-27 berjaya melakarkan kejutan menghadiahkan mata pertama negara.

Mereka yang muncul juara Terbuka Hyderabad pada 2019 menewaskan beregu di ranking ketujuh dunia, Marcus Ellis-Lauren Smith 21-19, 21-18 dalam pertarungan straight set.

Rentak kemenangan beregu campuran negara diteruskan oleh juara Seluruh England, Lee Zii Jia yang tidak berdepan masalah menewaskan lawan Johnnie Torjussen 21-4, 21-15 untuk Malaysia mendahului England 2-0.

Nyata Zii Jia yang menghuni ranking kelapan dunia bukanlah tandingan Johnnie yang berada di ranking ke-202, apabila mudah menjinakkan lawan dalam tempoh 28 minit.

Mata ketiga skuad negara dihadiahkan pemenang pingat gangsa temasya Olimpik Tokyo, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menewaskan Ben Lane-Sean Vendy 22-20, 21-18 dalam tempoh 40 minit.

Bagaimanapun, beregu nombor satu negara diberi tentangan sengit di set pertama apabila saling mengejar mata sebelum menang 22-20.

Pada set kedua, Ben Lane-Sean Vendy bermula garang dan dilihat menguasai perlawanan di awal set kedua apabila mendahului 7-5. Aaron-Wooi Yik yang menundukkan beregu pertama dan kedua dunia dari Indonesia ketika temasya Olimpik cuba mengejar dan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan sembilan sama sebelum akhirnya menang 21-18 sekali gus menghadiahkan mata berharga buat negara.

Sementara itu hasrat perseorangan wanita S Kisona untuk menghadiahkan mata keempat tidak kesampaian apabila tewas kepada Abigail Holden 16-21, 20-22.

Manakala beregu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah turut tewas kepada Chloe Birch-Lauren Smith 18-21, 21-17, 10-21.

Selepas aksi bertemu England, Malaysia akan menentang Mesir esok sebelum mengakhiri saingan kumpulan bertemu Jepun dua hari berikutnya.

Format Piala Sudirman menetapkan hanya juara dan naib juara kumpulan layak ke peringkat suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 September 2021 @ 4:44 PM