BEREGU wanita negara, Pearly Tan (kiri) dan M Thinaah semakin konsisten di pentas antarabangsa. FOTO ihsan BAM
BEREGU wanita negara, Pearly Tan (kiri) dan M Thinaah semakin konsisten di pentas antarabangsa. FOTO ihsan BAM
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Selepas berjaya menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik dunia, beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah antara yang menjadi bualan di media sosial dalam kalangan peminat badminton.

Mereka yang dicalonkan bagi Anugerah Ikon Sukan (AIS) Harian Matro kategori Ikon Sukan Wanita Gardenia Breakthru menempa pelbagai kejayaan tahun ini termasuk meraih emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 dan juara Terbuka Perancis.

"Saya rasa anugerah seperti ini akan meningkatkan motivasi pemain untuk beraksi dengan lebih baik dalam mana-mana kejohanan," kata Pearly yang turut layak ke Final Jelajah Dunia yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand 7 hingga 11 Disember.

Pemain kelahiran Kedah itu berkata, undian peminat bakal membuatkan mana-mana atlet lebih bersemangat dan dia menyambut baik langkah akhbar Harian Metro menganjurkan AIS buat julung kali.

"Saya rasa memang bagus buat kedua-dua belah pihak (atlet dan peminat) selain meningkatkan motivasi kita apabila bertanding di peringkat antarabangsa," kata pemain berusia 22 tahun itu.

Undian peringkat awal AIS adalah berdasarkan kepada 20 calon terbaik bagi setiap kategori dan proses terbabit sudah ditutup 20 November lalu.

Undian pusingan peringkat kedua pula akan bermula pada 1 Disember sehingga 25 Disember ini, membabitkan undian untuk calon lima terbaik AIS bagi setiap kategori.

Proses akhir pemilihan pemenang bagi setiap kategori berdasarkan 50 peratus penilaian juri profesional dan 50 peratus lagi daripada undian pilihan peminat.

Sudah tentu, atlet yang tersenarai adalah daripada mereka yang banyak mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa selain turut cemerlang dalam sukan masing-masing.

Orang ramai boleh mengundi menerusi platform disediakan antaranya di Facebook (FB) Gardenia dengan klik butang 'Like Facebook Gardenia' dan pilih kategori dan ikon sukan pilihan anda dan klik 'LIKE HALAMAN FACEBOOK' seterusnya, tekan butang 'Like' Facebook Gardenia menggunakan Facebook anda.

Selain melalui FB, peminat boleh follow Instagram (IG) Gardenia dan melakukan pembelian Gardenia Breakthru.

Peminat sukan boleh berbuat demikian dengan pilihan melanggan akhbar digital Harian Metro.

Langkah pertama perlu dilakukan adalah melayari portal Harian Metro ePaper untuk melanggan akhbar digital Harian Metro.

Selain itu, undian boleh dilakukan di akhbar Harian Metro atau www.hmetro.com.my/AIS.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2022 @ 5:42 PM