AARON (kiri) dan Wooi Yik mara ke suku akhir Terbuka Denmark. FOTO BADMINTON PHOTO
AARON (kiri) dan Wooi Yik mara ke suku akhir Terbuka Denmark. FOTO BADMINTON PHOTO
Affan Rostam


Kuala Lumpur: Beregu utama lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mara ke suku akhir Terbuka Denmark selepas menundukkan beregu Perancis, Lucas Corvee-Ronan Labar di pusingan kedua, hari ini.

Perlawanan di Jyske Bank Arena, Odense itu menyaksikan Aaron-Wooi Yik membuktikan status mereka selaku juara dunia apabila mengatasi pasangan di ranking ke-42 dunia itu 21-13 pada set pertama.

Aaron-Wooi Yik yang diletakkan selaku pilihan keempat kejohanan menang set kedua 21-18, sekali gus menamatkan saingan dalam tempoh 31 minit.

Menanti di peringkat suku akhir adalah pasangan dari India, Satwiksairaj Rankireddu-Chirag Shetty selepas menewaskan wakil Indonesia, Muhammad Sohibul Fikri-Bagas Maulana 21-14, 21-16.

Sementara itu, beregu Indonesia yang juga pilihan ketiga kejohanan, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dikejutkan dengan kekalahan ke atas pasangan di ranking ke-24 dunia dari Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han 19-21, 17-21 di pusingan kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2022 @ 7:13 PM