NUR Izzuddin (kanan) dan Tze Fei kini menduduki ranking ke-46 dunia. FOTO BADMINTON PHOTO
NUR Izzuddin (kanan) dan Tze Fei kini menduduki ranking ke-46 dunia. FOTO BADMINTON PHOTO
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani diminta terus kekal lapar memburu gelaran setiap kali turun beraksi.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, beliau mahu gandingan itu membina momentum dalam misi memburu tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024.

"Saya harap mereka kekal konsisten dan terus mempunyai keinginan tinggi untuk meraih pencapaian lebih baik berbanding dua kejohanan sebelum ini," katanya.

Izzuddin-Sze Fei yang kembali bergandingan selepas lima bulan berpisah bermula positif dalam dua kejohanan pertama mereka apabila menepati ramalan muncul juara Terbuka Amerika Syarikat (AS) dan melangkah hingga suku akhir Terbuka Korea.

Selepas ini, pasangan di ranking ke-46 dunia itu dijadual menyertai Terbuka Jepun yang bakal membuka tirainya esok, bertemu beregu tuan rumah Ayato Endo-Yuta Takei di pusingan pertama.

Selain Sze Fei-Izzuddin, tiga lagi beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun turut akan menggalas cabaran di Jepun.

Aaron-Wooi Yik yang diletakkan sebagai pilihan keempat dijadual bertemu beregu India, M R Arjun-Dhruv Kapila manakala Ee Yi-Yew Sin yang tewas kepada Izzuddin-Sze Fei di pusingan kedua Terbuka Korea akan berdepan Lucas Corvee-Ronan Albar dari Perancis.

Wei Chong-Kai Wun pula berdepan cabaran getir apabila dijadual bertemu bekas juara Seluruh England dari Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Julai 2023 @ 3:03 PM