AARON dan Wooi Yik ketika sesi latihan di  diAkademi Badminton Malaysia Bukit Kiara. FOTO Aswadi Alias
AARON dan Wooi Yik ketika sesi latihan di diAkademi Badminton Malaysia Bukit Kiara. FOTO Aswadi Alias
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Undian Kejohanan Badminton Dunia yang berlangsung petang tadi menyaksikan beberapa pemain utama negara memperoleh laluan mudah di awal saingan.

Kejohanan yang akan berlangsung di Copenhagen, Denmark pada 21 hingga 27 Ogos depan menyaksikan penyandang juara beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang diletakkan sebagai pilihan keempat tidak perlu bermandi peluh untuk ke pusingan kedua.

Kelebihan itu turut dirasai Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang diletakkan sebagai pilihan ketujuh kejohanan, namun berbeza dengan Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang mendapat slot ke saingan ini pada saat akhir apabila diundi bertemu pasangan Perancis, Lucas Corvee-Ronan Labar.

Begitupun, cabaran sebenar Aaron dan Wooi Yik untuk mempertahankan kejuaraan mereka apabila memasuki pusingan ketiga apabila mereka dijangka membuat perhitungan dengan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020, Lee Yang-Wang Chi Lin dari Taiwan.

"Saya rasa ia bukan perkara mudah kerana beregu lelaki adalah kategori yang amat sengit, jadi kami hanya memberikan tumpuan kepada persiapan kami," kata Wooi Yik.

Dalam perseorangan lelaki, dua wakil negara, Ng Tze Yong dan Lee Zii Jia bakal berdepan tugas sukar.

Tze Yong bakal membuat perhitungan dengan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020, Zhao Jun Peng dari China, manakala Zii Jia pula akan menentang pilihan kelima kejohanan, Jonatan Christie.

Tze Yong dan Jun Peng belum pernah bertemu, manakala Zii Jia sudah tiga kali menang ke atas Jonatan sepanjang tujuh pertemuan sebelum ini.

Bagi perseorangan wanita, Goh Jin Wei pula akan menentang pemain tangga 65 dunia, Vivien Sandohrhazi dari Hungary pada pusingan pertama, manakala S Kisona bakal tampil berdepan pemain Taiwan, Pai Yu Po.

Dalam acara beregu campuran, Shevon Lai-Soon Huat yang diletakkan sebagai pilihan ke-10 kejohanan serta rakan sepasukan, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mendapat 'bye' untuk terus ke pusingan kedua.

Nasib berbeza buat Tan Kian Meng-Lai Pei Jing apabila mereka perlu berentap dengan Fathimah Abdul Razzaq-Hussein Shaheed dari Maldives yang berada di ranking 85 dunia.

"Saya tidak tahu apa-apa mengenai mereka, tetapi seperti yang kami sering lakukan untuk kejohanan sebelum ini, kami akan memastikan kami memberikan persembahan yang terbaik untuk setiap kejohanan yang kami sertai.

"Saya rasa ia sesuatu yang bagus jika kami dapat bertemu (Tang Jie-Ee Wei) dalam kejohanan ini dan kami akan tetap memberikan yang terbaik kerana kami sama-sama rakyat Malaysia," jelas Pei Jing.

Tiga lagi wakil negara yang akan turut sama berjuang di Copenhagen adalah beregu wanita negara, terdiri daripada Pearly Tan-M Thinaah, Vivian Hoo-Lim Chiew Sin serta Anna Cheong-Teoh Mei Xing yang turut mendapat slot ke saingan ini pada saat akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2023 @ 6:24 PM