WOOI Yik (kiri) dan Aaron mara ke pusingan kedua Terbuka Denmark. FOTO FB BAM
WOOI Yik (kiri) dan Aaron mara ke pusingan kedua Terbuka Denmark. FOTO FB BAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Beregu badminton lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik melaungkan amaran di Terbuka Denmark apabila melangkah ke pusingan kedua kejohanan itu, hari ini.

Pasangan nombor empat dunia itu tidak berdepan masalah untuk mengatasi beregu Jerman, Mark Lamsfuss-Marvin Seidel 21-18, 21-19 dalam aksi pusingan pertama di Jyske Bank Arena, Odense.

Kemenangan itu membolehkan mereka meneruskan dominasi ke atas lawan itu selepas menang empat daripada lima pertemuan sebelum ini.

Aaron-Wooi Yik yang diletakkan sebagai pilihan keempat akan bertemu pasangan Perancis, Lucas Corvee-Ronan Labar untuk perebutan tiket ke suku akhir, esok.

Sementara itu, nasib berbeza dialami satu lagi beregu lelaki negara, Tee Kai Wun-Man Wei Chong apabila terkandas di pusingan pertama selepas tunduk di tangan juara Seluruh England, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana dari Indonesia 20-22, 15-21.

Beregu wanita profesional negara, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien turut berdepan nasib sama apabila tewas di tangan beregu Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi 19-21, 17-21.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Oktober 2022 @ 9:48 PM