PRESIDEN BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria (tengah) pada sidang media sebaik tiba di KLIA, hari ini. FOTO ASWADI ALIAS
PRESIDEN BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria (tengah) pada sidang media sebaik tiba di KLIA, hari ini. FOTO ASWADI ALIAS
Ferzalfie Fauzi


Sepang: Insentif kira-kira RM200,000 seorang bakal diraih pasangan juara dunia negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik selepas meraih kejayaan sulung negara di Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, Jepun.

Perkara itu disahkan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria apabila beliau akan terus berbincang bersama kerajaan dan penaja lain supaya pasangan itu mendapat ganjaran setimpal.

"Ia masih di peringkat awal lagi (pemberian ganjaran) lagi pun baru semalam mereka muncul juara, tapi saya akan berbincang bersama kerajaan, penaja agar mereka menerima ganjaran sewajarnya," katanya ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Beliau berkata, setakat ini, BAM akan memberikan setiap seorang RM150,000, manakala penaja Yonex pula RM50,000 (setiap seorang) dan RM20,000 (setiap seorang) Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam).

Menurutnya, pihaknya akan usulkan kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu untuk menimbang jumlah ganjaran sesuai.

"Selepas itu kita akan berbincang dengan pemegang taruh lain agar mereka mendapat ganjaran berbaloi.

"Jadi, buat masa sekarang setakat ini sahaja jumlah ganjaran terkumpul untuk mereka yang masih belum pulang dari Tokyo," katanya.

Norza yang menyambut ulang tahun kelahirannya kali ke-56 hari ini, mengakui akan ada sambutan wira buat Aaron-Wooi Yik sebagai tanda penghormatan selepas menamatkan penantian 45 tahun gelaran dunia.

Aaron-Wooi Yik merangkul gelaran sulung selepas menewaskan gandingan berpengalaman Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-19, 21-14 semalam.

Dalam perkembangan lain, beregu itu dijangka tidak beraksi pada kejohanan Terbuka Jepun yang dijadualkan bermula esok hingga Ahad depan selepas mengambil keputusan untuk menarik diri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Ogos 2022 @ 8:28 PM