BING Shen (dua dari kiri) memeluk Aaron Chia manakala Rexy memeluk Wooi Yik selepas gandingan itu muncul juara dunia, Ahad lalu. FOTO AP
BING Shen (dua dari kiri) memeluk Aaron Chia manakala Rexy memeluk Wooi Yik selepas gandingan itu muncul juara dunia, Ahad lalu. FOTO AP
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Jurulatih beregu lelaki negara, Tan Bin Shen berharap dapat terus menimba ilmu daripada legenda Indonesia, Rexy Mainaky dalam usaha untuk melahirkan lebih ramai pemain beregu negara sehebat Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Di sebalik tumpuan lebih terarah kepada Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy susulan kejayaan Aaron-Wooi Yik melakar sejarah muncul juara dunia, Bin Shen yang juga bekas pemain negara sebenarnya turut memainkan peranan penting kepada kejayaan itu.

"Sejak dilantik selaku jurulatih di BAM, saya nampak Aaron-Wooi Yik melalui prestasi naik dan turun, tetapi mereka terus bekerja keras ketika sesi latihan.

"Sebagai jurulatih, saya hanya terus kekal memberi dorongan kepada mereka dan menganalisis setiap perlawanan dilalui. Pada masa sama, Rexy memberi kepercayaan sepenuhnya kepada saya untuk terus bimbing Aaron-Wooi Yik.

"Sejujurnya Rexy memang beri banyak tunjuk ajar kepada saya dan sentiasa bertukar pendapat bagaimana mahu meningkatkan lagi prestasi beregu negara ini sehingga akhirnya muncul juara dunia," katanya yang dilantik selaku jurulatih bermula Disember 2020.

Bin Shen berkata, selaku jurulatih negara, perjuangan untuk melahirkan lebih ramai pemain berkaliber seperti Aaron-Wooi Yik tidak akan terus terhenti begitu sahaja.

Menurutnya, Rexy sudah menyatakan yang sekarang mereka perlu capai sasaran baharu bersama-sama pemain beregu negara seperti Aaron-Wooi Yik.

Katanya, mereka mahu melahirkan lebih banyak beregu negara yang mampu berada dalam kelompok 16 terbaik dunia dan ini adalah sasaran peribadinya.

Aaron-Wooi Yik melakar sejarah muncul juara di Kejohanan Badminton Dunia dekat Tokyo, Ahad lalu selepas menewaskan juara dunia tiga kali, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-19, 21-14.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2022 @ 6:29 PM