ARSHDIP  (tengah) menerima hadiah daripada Mahzan (kiri) dan Nazaruddin.
ARSHDIP (tengah) menerima hadiah daripada Mahzan (kiri) dan Nazaruddin.
Rosli Ilham


Kemaman: Kehebatan bekas juara dunia, Lin Dan menjadi pembakar semangat kepada Arshdip Singh muncul juara kategori lelaki bawah 15 tahun Kejuaraan Badminton Remaja Allianz 2022 siri ketiga yang berlangsung di Dewan Badminton Master Scaff, Kemaman Terengganu, hari ini.

Arshdip, 14, pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) Hwa Liang, Mentakab Pahang itu terpaksa berhempas pulas sehingga tiga set perlawanan sebelum menang ke atas Loh Chee Kiat, 15, dengan keputusan 22-20, 16-21, 21-16.

Arshdip berkata, dia tidak menjangka memenangi perlawanan itu kerana lawan memberi tentangan sengit kepadanya dalam set pertama.

"Pada set kedua perlawanan, saya tertekan dan keletihan menyebabkan saya melakukan banyak kesalahan sehingga saya tumpas pada set kedua itu dan atas sokongan dan tunjuk ajar jurulatih, Remy Lee dan Fung Seng serta bapa saya, Darshan Singh saya akhirnya bangkit di set ketiga sekali gus menjuarai ketegori itu.

"Selepas ini saya akan pulang meneruskan latihan intensif untuk saya bertarung dengan lebih ramai lagi pemain cemerlang pada Grand Final yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 25 dan 27 November nanti," katanya yang berlatih di Akademi Kajang United Badminton.

Dia yang juga anak bongsu daripada tiga beradik dan berasal dari Kajang Selangor itu, mula berjinak dalam permainan badminton sejak berusia enam tahun hasil dorongan daripada abangnya Sharaddip Singh, 23 dan akan meletakkan sasaran menjadi juara pada pentas Grand Final nanti.

"Pengalaman bertarung pada siri ketiga ini selama enam perlawanan sebelum muncul juara menjadi pembakar semangat saya untuk muncul juara sekali lagi.

"Saya berterima kasih kepada Allianz dan berharap kejohanan ini dianjurkan lagi pada masa depan dalam usaha mencungkil lebih ramai lagi bakat remaja untuk mewakili negara ke pentas pertandingan dunia," katanya yang bercita-cita untuk menjadi pemain badminton negara satu masa nanti.

Juara bagi kategori perseorangan lelaki dan perseorangan wanita menerima wang tunai RM500 manakala naib juara menerima RM300 sementara juara kategori beregu lelaki dan wanita menerima RM600 dan naib juara menerima RM400.

Hadiah kepada semua pemenang disampaikan oleh Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, (Sektor Pembangunan Murid), Mahzan Hamzah dan Ketua Cawangan Temerloh Allianz General Insurance Company Malaysia Berhad, Nazaruddin Abdul Majid.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Ogos 2022 @ 5:24 PM