TZE Yong terpaksa beraksi rubber set seawal pusingan pertama hingga ke separuh akhir. FOTO Ihsan Persekutuan Badminton Dunia
TZE Yong terpaksa beraksi rubber set seawal pusingan pertama hingga ke separuh akhir. FOTO Ihsan Persekutuan Badminton Dunia
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Faktor kepenatan mungkin menjadi punca kepada kekalahan perseorangan lelaki negara Ng Tze Yong apabila terkandas di separuh akhir Terbuka India.

Dia yang turun untuk memburu misi ke final Super 500 Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang pertama itu terpaksa akur kepada pemain tuan rumah, Lakshya Sen 21-19, 16-21, 12-21 dalam pertarungan yang berlangsung selama satu jam tujuh minit.

Terpaksa beraksi rubber set seawal pusingan pertama hingga ke separuh akhir, Tze Yong dilihat mula kepenatan memasuki perlawanan penentuan menentang Lakshya.

Dia mula ketinggalan seawal set ketiga namun cuba bangkit untuk memberi tentangan bagaimanapun bagaikan hilang arah ketika kedudukan 12-16.

Melihat keadaan Tze Yong yang semakin hilang arah, Lakshya mula mengambil kesempatan meraih lima mata berturut-turut seterusnya menang 21-12 untuk menempah tempat ke final bertemu juara dunia dari Singapura, Loh Kean Yew di pentas akhir, esok.

Sementara itu beregu campuran negara Chen Tang Jie-Peck Yen Wei berjaya melakarkan kejutan menewaskan rakan senegara yang juga pilihan pertama kejohanan, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing untuk mara ke perlawanan akhir Terbuka India.

Tang Jie-Yen Wei diletakkan sebagai pilihan ketiga itu bagaimanapun terpaksa bertarung selama 1 jam 11 minit sebelum menang 21-19, 23-22, 21-14 di KD Jadhav Indoor Hall, New Delhi.

Kejayaan itu pastinya menjadi pembakar semangat buat pasangan muda negara yang kini menghuni ranking ke-40 dunia untuk berjuang merangkul kejuaraan sulung mereka tahun ini.

Tang Jie-Yen Wei akan berdepan lawan dari Singapura Terry Hee-Tan Wei Han yang meraih kemenangan percuma selepas lawan dari Russia, Rodion Alimov-Alina Davletova menarik diri selepas dikesan positif Covid-19.

Bagi Tang Jie, 24, dia gembira dapat mara ke perlawanan akhir pertamanya dalam acara Super 500 Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) (peringkat ketiga) itu dan akan berusaha sedaya upaya untuk muncul juara.

Kali terakhir pasangan negara itu meraih kejuaraan adalah pada 2018 apabila muncul juara Cabaran Antarabangsa Malaysia selepas menewaskan beregu Indonesia Andika Ramadiansyah-Mychelle Crhystine Bandaso.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 January 2022 @ 7:17 PM