ARSHDIP Singh Darshan Singh. FOTO JOHOR BA
ARSHDIP Singh Darshan Singh. FOTO JOHOR BA
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pilihan utama, Arshdip Singh Darshan Singh menepati ramalan apabila muncul juara perseorangan lelaki bawah 16 bagi Pusingan Kedua, Kumpulan A Jelajah Elit Junior Affin 100Plus 2024 yang berlangsung di Stadium Arena Larkin Johor.

Arshdip bagaimanapun terpaksa bekerja keras sebelum dapat menyingkirkan pemain Pahang, Muhammad Shazmir Irfan Shahrul apabila terpaksa menyerah pada set pertama 19-21 sebelum memenangi dua set berikutnya 21-7, 21 -18 dalam masa 50 minit.

Nyata ia satu kemenangan yang bermakna buat Arshdip dan bertekad untuk terus cemerlang di kejohanan akan datang.

Sementara itu dalam saingan beregu lelaki, juara menjadi milik beregu dari Melaka, Ahmad Qaid Darwisy Ahmad Fuad-Syed Harraz Syed Muzir selepas menewaskan rakan sepasukan, Curson Cheng Yu Yang-Wan Muhammad Darwisy Wan Hadelee.

Ahmad Qaid-Syed Harraz yang diletakkan sebagai pilihan kedua, tewas set pertama 20-22 sebelum bangkit menguasai dua set berikutnya dengan 21-14, 21-12.

Sementara itu Presiden dan Kumpulan Ketua Pegawai Eksekutif, Affin Bank Berhad, Datuk Wan Razly Abdullah menzahirkan rasa gembira kerana dapat menjadi sebahagian daripada usaha pembangunan sukan badminton di negara ini.

"Kami gembira dapat meneruskan perjalanan memperkasa dan menyokong bakat muda negara.

"Jelajah Elit Junior ini adalah program pembangunan junior Persatuan Badminton Malaysia, berfungsi sebagai batu loncatan, mencari lebih ramai pemain berbakat untuk diketengahkan di peringkat tempatan dan antarabangsa.

"Kami bersedia untuk terus menyumbang kepada masa depan sukan dan menjadi inspirasi kepada generasi baru atlet muda negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 5:47 PM