BARISAN pemenang bergambar selepas tamat Kejohanan Badminton Remaja Allianz. FOTO Allianz
BARISAN pemenang bergambar selepas tamat Kejohanan Badminton Remaja Allianz. FOTO Allianz
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Grand Final Kejohanan Badminton Remaja Allianz (AJBC) edisi kedua tiba di kemuncaknya hari ini di Stadium Bukit Kiara dengan lapan pemenang dalam kategori B-15 dan B-13 Lelaki dan Perempuan bagi acara perseorangan dan beregu membuktikan kehebatan masing-masing.

Lebih 2,600 pemain yang menyertai pusingan kelayakan yang mendebarkan, termasuk tiga lagi pusingan baharu di Sabah, Sarawak dan Pahang, menyaksikan hanya 183 yang berjaya mara ke Grand Final AJBC.

Untuk rekod, sebanyak empat kategori (perseorangan lelaki, beregu lelaki, perseorangan perempuan dan beregu perempuan) dipertandingkan dalam kategori umur Bawah 13 dan Bawah 15 Tahun.

Pusingan Kelayakan diadakan di 10 lokasi di seluruh semenanjung dan wilayah Sabah, Sarawak antara Julai hingga November.

Selepas empat hari persaingan sengit, gelaran perseorangan B-15 lelaki menjadi milik Tiew Yi Cheng yang mengalahkan Arshdip Singh Darshan Singh 21-17, 21-19, manakala kategori perempuan dimenangi Nur Aina Maisarah Hatta menumpaskan Lim Yew Ern 21-15, 21-18.

Dalam perlawanan akhir beregu B-15 lelaki, Damien Ling-Ethan Oh menumpaskan Lai Man Tat-Danish Haiqal Noor 21-16, 21-15, manakala Giovanna Koay-Lee Joinne merangkul gelaran dalam kategori perempuan selepas mengalahkan Lee Weng Yan-Teh Xin Ying.

Gelaran perseorangan B-13 lelaki menyaksikan Marcus Hang berjaya menumpaskan Wong Tze Han 21-9, 17-21, 21-16, manakala gelaran perempuan memihak kepada Low Zi Yu selepas mengalah Chong Wan Xin 21-8, 21-13.

Beregu lelaki B-13 milik Marcus Hang-Teoh Chong Yee mengalahkan Derrick Leung-Wong Tze Han 21-15, 21-12, manakala dalam kategori perempuan diraih Auni Fatihin Azuan-Low Zi Yu selepas menang ke atas Chor Yoon Qian-Lim En Yu 21-13, 21-7.

Allianz Malaysia hari ini mengumumkan peruntukan geran khas RM2,000 untuk setiap pemenang untuk mereka gunakan bagi menampung perbelanjaan pertandingan masa depan termasuk yuran penyertaan, pembelian peralatan, kejurulatihan dan lain-lain.

Pemberian ini adalah tambahan kepada hadiah wang RM1,000 yang ditawarkan untuk pemenang AJBC Grand Finals.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2023 @ 5:41 PM