PEMAIN bergambar kenangan selepas tamat kejohanan. FOTO L Manimaran
PEMAIN bergambar kenangan selepas tamat kejohanan. FOTO L Manimaran
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Seperti dijangka, pemain Perak, Nur Aina Maisarah Muhammad Hatta menumpaskan rakan sepasukan pada aksi final kategori perseorangan wanita bawah 13 tahun Kejohanan Badminton Junior Allianz (AJBC) 2022 Perak di Arena Badminton Tan Sri Lee Loy Seng, di sini, hari ini.

Nur Aina Maisarah dari SMK Sri Intan menampilkan semangat juang tinggi untuk bangkit selepas ketinggalan set pertama menewaskan A Baavanya dari Methodist Girl School, 25-27, 21-11 dan 21-19.

Nur Aina Maisarah kemudian bergandingan dengan Baavanya dalam kategori beregu wanita bawah 13 tahun menentang gandingan G Anusha dari SKJC New Kopisan, Gopeng bersama Low Hui Yein dari SJKC Ching Tack.

Gandingan Nur Aina Maisarah-Baavanya terus cemerlang apabila menang 21-13, 21-15 menumpaskan gandingan Anusha-Hui Yein.

Untuk aksi final kategori perseorangan lelaki bawah 13 tahun, Marcus Hang Yuq Hwei dari SJKC Pooi Ming menewaskan Low See Zhe dari SMK Bukit Rahman Putra 21-18, 21-14.

Yuq Hwei sekali lagi melakar detik manis apabila bergandingan dengan Chia Chong Kim dari International School Kuantan dan muncul juara beregu lelaki bawah 13 tahun menumpaskan gandingan Muhammad Danish Mohd Nazri-Muhammad Qaliff Farish Abdul Hafiz 21-12, 21-11.

Sementara, bagi regu kategori lelaki bawah 15 tahun (BD U15), gandingan Tiew Wei Jie-Tiew Yi Cheng masing-masing dari SMK Methodist Telok Datuk, Selangor muncul juara apabila menumpaskan gandingan Kyros Gan Way Herng-Liew Jin Xuen 21-9, 19-21, 21-17 di peringkat akhir.

NUR Aina (kanan) ketika beraksi dalam kategori beregu.
NUR Aina (kanan) ketika beraksi dalam kategori beregu.

Juara perseorangan lelaki kategori terbabit pula turut dirangkul Yi Cheng apabila menumpaskan Rex Ng Man Hei dari Sekolah Menengah Yuk Choy (SUWA) 21-18, 21-19.

Juara perseorangan wanita kategori U15 pula dirangkul Nurin Zahirah Haizal dari SMK Dato Syed Omar apabila berjaya membenam Ng Hui Min dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Jit Sin di kedudukan 21-10, 20-22, 21-18.

Manakala, juara beregu kategori perempuan U15 dirangkul gandingan Cheng Pei En-Leong Jing Ee masing-masing dari Sekolah Menengah Poi Lam (SUWA) dan Sekolah Menegah Yu Choi (SUWA) yang menumpaskan gandingan Nurin Zahirah-Rachel Tan Jin En (Sekolah Menengah Sin Ming) di kedudukan 15-21, 21-18, 21-17.

AJBC di Arena Badminton Tan Sri Lee Loy Seng yang berlangsung dari Jumaat lalu dan berakhir semalam disertai lebih 400 peserta.

Pusingan akhir dijangka berlangsung 24-26 November ini di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Berhad, Sean Wang berkata, pihaknya sangat teruja menganjurkan kejohanan badminton itu yang bertujuan menyokong belia Malaysia dalam perkembangan sukan badminton dari peringkat akar umbi.

"Selepas dua tahun tanpa aktiviti susulan pandemik Covid-19, kami teruja untuk memperbaharui komitmen kami menyokong perkembangan sukan dari peringkat awal.

"Melalui AJBC, tujuan kami menyediakan platform kepada bakal pemain badminton muda dan akses kepada pertandingan untuk menguji kemahiran mereka dan mendapat pengalaman pertandingan selain menghadirkan keterujaan untuk kemungkinan menemukan pemain badminton negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2022 @ 9:37 PM