FAJAR dan Rian menewaskan rakan senegara, Muhammad Ahsan-Hendra Setiawan pada perlawanan akhir Masters Malaysia 2022. FOTO Fathil Asri
FAJAR dan Rian menewaskan rakan senegara, Muhammad Ahsan-Hendra Setiawan pada perlawanan akhir Masters Malaysia 2022. FOTO Fathil Asri
BERNAMA

Kuala Lumpur: "Usah putus asa," demikian pesanan juara beregu lelaki Masters Malaysia 2022 dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto kepada pasangan utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Fajar percaya masanya pasti akan tiba bagi Aaron-Wooi Yik merangkul kejuaraan pertama mereka sejak kali pertama digandingkan pada 2017.

"Aaron-Wooi Yik pernah menang gangsa di Sukan Olimpik Tokyo tahun lepas dan saya percaya mereka bisa bangkit untuk meraih kejuaraan pertama nanti," katanya ketika ditemui pemberita selepas pertarungan akhir semalam.

Fajar-Muhammad Rian yang turun selaku pilihan keenam merangkul kejuaraan kedua Masters Malaysia dalam karier selepas menumpaskan senior mereka yang juga pilihan ketiga, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan, 21-12, 21-19.

Muhammad Rian pula berkata mereka juga tetap mencuba sebaik mungkin bagi mencapai rekod pertembungan antara mereka kepada 3-3 selepas tewas tiga perlawanan terdahulu menentang Aaron-Wooi Yik sebelum ini.

Pertemuan terbaru mereka pada aksi separuh akhir Masters Malaysia 2022 di Axiata Arena, Sabtu lalu berpihak kepada Fajar-Muhammad Rian, 21-14, 19-21, 21-10.

Pasangan Indonesia itu tumpas straight set 24-26, 15-21 kepada Aaron-Wooi Yik dalam pertemuan sulung mereka di Masters Malaysia 2019.

Selepas sering dibayangi pasangan nombor satu dunia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo serta gandingan ketiga terbaik dunia, Ahsan-Hendra, Muhammad Rian berkata mereka juga tidak mudah menyerah kalah untuk membuktikan mereka mampu mencapai tahap seperti kedua-dua pasangan itu.

Selain menjuarai Masters Malaysia 2022, tahun ini menyaksikan Fajar-Muhammad Rian meraih dua lagi gelaran juara iaitu Masters Indonesia 2022, bulan lalu serta Terbuka Swiss 2022 pada Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Julai 2022 @ 10:34 PM