AKSI Aaron-Wooi Yik di Masters Malaysia. FOTO Aswadi Alias
AKSI Aaron-Wooi Yik di Masters Malaysia. FOTO Aswadi Alias
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Sekali lagi terkandas di separuh akhir tidak mematahkan semangat Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk memburu gelaran sulung walaupun ada yang mula sangsi bahawa beregu lelaki nombor satu negara ini seakan mempunyai badi kejuaraan atau pun final.

Bagaimanapun, apa pun pandangan peminat mahupun pemerhati sukan badminton Aaron-Wooi Yik akan terus mencari jalan dan mempersiapkan diri sebaik mungkin terutama menjelang Sukan Komanwel Birmingham hujung bulan ini.

"Dua minggu ini kita akan berlatih sebanyak mungkin. Sebenarnya sampai hari ini (semalam) kita tidak mempunyai banyak masa untuk berlatih. Banyak kejohanan secara berturut-turut. Selepas ini barulah ada latihan spesifikl apa yang perlu kami tumpukan. Lihat kembali di mana kelemahan kami untuk diperbaiki semasa berlatih," kata Aaron.

Ujar Aaron, walaupun sudah enam kali berjaya layak ke separuh akhir tahun ini, ia masih belum boleh diterimanya sedangkan mereka adalah pasangan yang berada dalam lingkungan lima atau enam terbaik dunia.

"Saya tetap berharap boleh dapat kejuaraan sedangkan mereka yang berada dalam ranking 10 mahupun 20 terbaik juga boleh dapat memecah kebuntuan meraih trofi. Sedangkan kita sudah setengah tahun banyak terkandas di separuh akhir dan sekali final. Bukan keputusan yang dicatatkan sekarang ini tidak bagus tapi tetap ada kekurangan jika masih belum jadi juara.

"Kalau boleh dapat meraih satu kejuaraan dan mungkin selepas itu kami boleh menambah lagi koleksi," kata pemain kelahiran Melaka itu.

Sementara itu, Wooi Yik mengakui mereka sudah memberikan yang terbaik dan mengakui semua boleh melihat sendiri bagaimana mereka mencuba ketika berdepan Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto di separuh akhir Masters Malaysia semalam.

"Bagaimanapun, ia masih lagi jauh (untuk meraih kejuaraan). Ia adalah proses pembelajaran buat kami kerana bukan mudah bagi mengatasi atau inginkan sesuatu. Kami perlu mencari penyelesaian masalah ini, bukannya bila turun ke kejohanan hanya tersangkut di separuh akhir," kata Wooi Yik.

Semalam peminat badminton negara terus hampa apabila tiada wakil negara bakal beraksi di final Masters Malaysia hari ini, sekali gus mengulangi episod sama di Terbuka Malaysia minggu lalu.

Turun selaku pilihan kelima, Aaron-Wooi Yik cuba memberi tentangan dengan mengheret aksi sehingga ke rubber set, sebelum tumpas 14-21, 21-19, 10-21.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Julai 2022 @ 2:30 PM