BEREGU utama negara, Aaron Chia (kanan) dan Sooh Wooi Yik. FOTO FATHIL ASRI.
BEREGU utama negara, Aaron Chia (kanan) dan Sooh Wooi Yik. FOTO FATHIL ASRI.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky enggan mengambil risiko memecahkan gandingan beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik buat masa sekarang.

Rexy menjelaskan amat sukar untuk membuat tindakan drastik itu memandangkan pemain simpanan di BAM ketika ini belum lagi mencapai tahap memuaskan selain berkedudukan ranking yang jauh lebih rendah daripada Aaron-Wooi Yik seperti Man Wei Chong-Tee Kai Wun (38) serta Wan Arif Wan Junaidi-Muhammad Haikal Nazri (80).

"Misalnya, jika di Indonesia, saya fikir mereka tiada masalah untuk berpecah sekiranya perlu kerana dua beregu muda mereka juga berada di 'top' 20 seperti Pramudya Kusumawardana-Yeremia Erich Yoche Yacob Rambitan (14) serta Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana (20).

"Mereka (pasangan Indonesia) juga tidak perlu waktu lama untuk capai keserasian dan boleh bermain, malah sehingga kejohanan Super 1000 sekalipun, namun jika di Malaysia, katakan kita mahu pasangkan Aaron dengan pemain lebih muda dan akan mula dengan main tahap Super 300 pasti akan rugi banyak kejohanan," katanya dalam sidang media secara dalam talian, hari ini.

Untuk rekod, Aaron-Wooi Yik yang mula digandingkan pada 2017 belum lagi memenangi mana-mana kejohanan terbuka, dengan pencapaian terbaik setakat ini adalah meraih gangsa pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Jepun, tahun lalu.

Pasangan nombor enam dunia itu gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri iaitu Terbuka Malaysia 2022 dan Masters Malaysia 2022 selepas terkandas di peringkat separuh akhir pada dua kejohanan itu.

Aaron-Wooi Yik tumbang kepada pasangan kedua dunia, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun, 21-23, 9-21 di Terbuka Malaysia 2022 diikuti tumpas kepada pasangan kelima dunia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dari Indonesia, 14-21, 21-19, 10-21 pada Masters Malaysia 2022, semalam.

Dalam pada itu, Rexy ternyata kecewa dengan prestasi ditampilkan dua beregu utama BAM, Aaron-Wooi Yik serta gandingan ke-12 Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani pada dua kejohanan di Malaysia, yang jauh daripada standard sebenar memandangkan kedua-dua mereka berada pada kelompok 20 teratas dunia.

Mengambil contoh pertemuan menentang Fajar-Muhammad Rian pada Masters Malaysia, Rexy melihat Aaron-Wooi Yik merasakan diri mereka lebih hebat daripada lawannya sehingga memakan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Julai 2022 @ 7:17 PM